COVID-19: Sambutan Hari Kebangsaan dalam norma baharu – Ismail Sabri.

0
46

KUALA LUMPUR: Hari Kebangsaan ke-63 yang akan disambut pada 31 Ogos ini dijangka tidak akan mengetengahkan acara sambutan besar-besaran termasuk perbarisan yang menjadi perhatian rakyat Malaysia seperti sebelum ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Negara kita akan menyambut kemerdekaan yang ke-63 tidak lama lagi. Sudah pasti sambutan pada tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya berikutan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Situasi ini memaksa keperluan untuk mengadaptasi kepada kebiasaan baharu dalam aktiviti seharian. Sambutan kemerdekaan dalam skala besar termasuk program perbarisan yang saban tahun menjadi tumpuan rakyat Malaysia kita tidak lagi lihat di kaca televisyen pada 31 Ogos ini.

“Namun begitu, ini tidak seharusnya memudarkan semangat kemerdekaan kita, sebaliknya kita semua perlu menghayati erti kemerdekaan dalam lensa kebiasaan baharu,” katanya pada sidang media, hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - fotoBERNAMA
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – fotoBERNAMA

Bagaimanapun, katanya, walaupun penularan wabak pandemik COVID-19 memaksa ‘pembaharuan’ dilakukan, ia tidak seharusnya melunturkan semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat negara ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, walaupun ada negara yang selalu diangkat sebagai contoh susulan kejayaan mereka mengawal penularan kes COVID-19, rakyat Malaysia juga harus berbangga dengan pencapaian yang dikecapi ketika ini.

Beliau berkata Malaysia adalah negara contoh kerana dapat mengawal penularan COVID-19 atas kawalan kendiri rakyatnya sendiri.

“Kes yang membabitkan COVID-19 positif terus menular di seluruh dunia. Pagi tadi kita dimaklumkan ada beberapa negara yang sentiasa menjadi contoh kepada kejayaan mereka mengawal kes di negara mereka.

“Kini negara mereka pula menghadapi masalah COVID-19 positif yang meningkat secara mendadak.

“Setakat ini saya agak kita masih lagi menjadi negara contoh kerana kawalan yang kita lakukan dan ianya berlaku kerana tindakan tuan-tuan dan puan-puan dalam mengawal merebaknya penyakit ini. Marilah kita sama-sama berazam untuk terus mengekalkan kejayaan mengawal penularan COVID-19,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here