COVID-19: UTM sedia makanan percuma kepada pelajar

0
72

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memastikan bekalan makanan tidak terputus kepada kira-kira 3,218 pelajar yang tinggal di kampus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, berkata pemberian pek makanan percuma tengahari dan malam kepada pelajar akan dibuat setiap hari bermula 18 Mac lalu sehingga 31 Mac depan.

Katanya ia hasil bantuan berjumlah RM11,500 dari Unit Zakat UTM serta sumbangan pihak luar termasuk dari Yayasan Raja Zarith Negeri Johor, Kerajaan Sabah dan individu prihatin.

“Universiti juga memastikan kafeteria di dalam kampus dibuka dan penjualan makanan dilaksana melalui servis penghantaran dan ‘take away’, selain kedai serbaneka beroperasi seperti biasa.

“Unit Kluster Hospitaliti UTM juga turut memastikan bilik dan fasiliti di kolej kediaman dijaga dengan baik kerana keselesaan pelajar menjadi keutamaan.

“Pusat Kesihatan Universiti juga beroperasi setiap hari dan menyediakan saluran hotline serta kecemasan yang berkuatkuasa 24 jam serta mengehadkan 30 orang pesakit sahaja dalam satu-satu masa bagi mencegah sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Menurut Wahid, Khidmat Telekaunseling turut disediakan kepada pelajar dan staf sekiranya di perlukan semasa tempoh ini, selain aktiviti pembersihan dan saringan turut dijalankan sekitar kampus.

Katanya Pejabat Keselamatan UTM turut memastikan kemasukan ke dalam kampus terkawal rapi seperti merekod setiap pergerakan pelajar keluar masuk kampus dan memantau keberadaan pelajar bagi mengelakkan mereka berada di tempat awam.

“Staf barisan hadapan termasuk pengawal keselamatan, di bahagian perubatan serta felo di kolej kediaman juga sentiasa dibekalkan dengan penjagaan rapi seperti sanitizer yang dihasilkan sendiri oleh universiti.

“Langkah ini diambil dengan penuh teliti, menyeluruh dan bersungguh-sungguh oleh universiti bagi menyediakan keperluan yang selesa kepada pelajar dan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.

Jelas Wahid, universiti juga menubuhkan sebuah Tabung Khas Bantuan COVID-19 UTM bagi mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak untuk membantu pelajar dan staf yang terkesan serta menampung sebahagian pengurusan pencegahan COVID-19.

“Sehingga 9 pagi tadi, jumlah yang terkumpul melalui sumbangan warga UTM tersebut ialah RM106,922 walau hanya beberapa hari dibuka dan jumlah ini dijangka meningkat lagi.

“Ini menunjukkan impak positif bagi membantu universiti mempertingkatkan lagi usaha untuk membantu pelajar,” katanya.

Sumber- Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here