Dadah lebih setengah juta ringgit dirampas di Langkawi

0
22

LANGKAWI: Polis merampas kira-kira 11.5 kilogram (kg) dadah heroin dan syabu bernilai RM594,200 selepas menahan empat lelaki dalam tempoh empat jam di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata dalam tangkapan awal dua suspek berusia 24 dan 37 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Cenderawasih pada jam 1 tengah hari.

“Ketika serbuan di hadapan rumah, polis merampas tiga peket plastik kecil berisi dadah jenis syabu seberat 1.03 gram dalam beg kecil milik suspek pertama.

“Sejumlah 57 gram dadah sama dirampas pula daripada suspek kedua dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, susulan soal siasat ke atas suspek, polis menemui dadah syabu seberat 102 gram dan heroin 103 gram disembunyikan celah dinding sebuah pondok di Kampung Bayas.

“Seterusnya, suspek ketiga berusia 31 tahun ditahan bersama dadah syabu seberat 15.03 gram di tempat letak kereta sewa di Jalan Penarak pada jam 2.30 petang.

“Rampasan terbesar membabitkan dadah heroin seberat 11.446 kilogram menyusul apabila suspek keempat berusia 53 tahun ditahan di Kampung Bukit Tangga.

“Bagi kes ini, dadah diisi dalam beg galas, dimasukkan dalam guni dan disembunyikan suspek dengan cara menanam dalam tanah sedalam kira-kira 0.5 meter,” katanya.

Beliau berkata, tiga daripada suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala seorang mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here