DAP mahu imuniti kelompok dicapai dahulu sebelumPRU-15

0
158

KUALA LUMPUR: DAP menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga lebih 70 peratus rakyat Malaysia menerima vaksin COVID-19.

Gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Keempat-empat pemimpin DAP itu mahu imuniti kelompok terhadap pandemik berkenaan dicapai terlebih dahulu, sebelum PRU-15 dilaksanakan.

“Kami menggesa Menteri (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin) untuk menasihati Perdana Menteri supaya menangguhkan pilihan raya sehingga lebih 70 peratus rakyat Malaysia divaksinasi dan imuniti kelompok dicapai.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat haruslah diutamakan di atas sebarang kepentingan politik,” jelas kenyataan bersama itu, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas empat pemimpin DAP berkenaan bertemu dengan Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, semalam.

Mengulas pertemuan itu, kenyataan bersama berkenaan memaklumkan mereka menyatakan sokongan penuh terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara dasar, dan berharap ia dilaksanakan secepat mungkin secara berkesan dan saksama.

Mereka turut menzahirkan komitmen untuk menggembleng tenaga semua wakil rakyat DAP bagi membantu dalam komunikasi strategik tentang manfaat vaksin COVID-19, membenteras fahaman antivaksin dan koordinasi perlaksanaan imunisasi di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.

“Kami berharap kerajaan akan membabitkan kami secara terus, termasuk menyediakan akses kepada sumber dan data yang ada untuk mengaktifkan kaedah ‘whole society approach’ (pendekatan masyarakat keseluruhan) dalam memantau dan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ,” katanya.

Dalam pertemuan sama, empat pemimpin DAP itu turut membangkitkan beberapa isu, antaranya mengenai dakwaan individu memotong giliran petugas barisan hadapan untuk mendapat vaksin lebih awal, dan berharap pihak yang memberi maklumat tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

“Kami menyeru kerajaan bersikap telus dalam menangani isu ini dan mendedahkan mana-mana pihak yang dibuktikan terbabit dengan kejadian ‘potong barisan’ untuk diberikan pengajaran kepada yang lain,” katanya.

DAP juga mahu kerajaan segera memperincikan kumpulan keutamaan dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi mengelak kekeliruan, selain berharap kerjasama komprehensif diwujudkan antara kerajaan dan sektor kesihatan swasta bagi memastikan sasaran memvaksin 70 peratus rakyat dicapai lebih cepat.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here