Diet sayur, buah-buahan ‘benteng awal’ anak atasi COVID-19

0
21

 

PENULARAN COVID-19 semakin membimbangkan rakyat Malaysia akibat kenaikan jelas jumlah kes baharu dalam negara. Ibu bapa pasti giat mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kesihatan dan keselamatan anak masing-masing dalam mendepani wabak ini.

Antara boleh dititikberatkan ialah bagaimana penyediaan makanan sihat untuk kanak-kanak dalam tempoh ini dapat membantu.

Pemakanan sihat perlu diberi penekanan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Ia untuk membantu memperkuatkan sistem imunisasi badan.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), menyatakan tumpuan serius perlu diberikan terhadap kemerosotan status pemakanan kanak-kanak ketika pandemik global COVID-19 melanda kerana kebergantungan mereka terhadap golongan dewasa.

Langkah pertama wajar diberi perhatian adalah membantu kanak-kanak memahami kepentingan memilih makanan sihat. Ibu bapa bukan sekadar berperanan menyediakan hidangan sihat kepada anak, tetapi perlu menerangkan manfaat dan khasiat di sebalik makanan dihidangkan.

Sudah pasti sayur dan buah yang mengandungi vitamin serta mineral, penting dan perlu dititikberatkan selain pengambilan hidangan karbohidrat seperti nasi dan mi serta protein seperti lauk-pauk.

Ketika ini, sangat penting memastikan anak makan sayur dan buah dengan mencukupi bagi membantu meningkatkan tahap imuniti mereka.

Realitinya, kanak-kanak termasuk golongan berisiko tinggi dijangkiti virus COVID-19, di samping warga emas serta individu mempunyai sejarah kesihatan yang memberi kesan kepada tahap keimunan mereka.

Ibu bapa juga boleh menunjukkan contoh baik ketika menikmati hidangan bersama anak bagi membiasakan mereka dengan makanan lengkap dan berkhasiat.

Prof Dr Yeo Kee Jiar daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, amalan pemakanan tidak sihat bukan sahaja memberi kesan kepada tahap perkembangan dan kesihatan kanak-kanak, tetapi juga aspek psikososial terutama dalam tempoh kawalan pergerakan ini.

Amalan pemakanan kanak-kanak terbentuk seawal usia dua hingga enam tahun dan amat cenderung kekal sehingga dewasa. Oleh itu, penerapan amalan pemakanan sihat dan seimbang perlu bermula sejak awal usia.

Justeru, tiada persekitaran lebih baik dan berkesan untuk tujuan ini melainkan bersama ibu bapa serta keluarga di rumah.

Bagaimanapun, cabaran utama menghambat ibu bapa adalah kesuntukan masa bersama keluarga. Seketika dulu, sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, kanak-kanak meluangkan waktu pagi di sekolah, ditambah pula pelbagai aktiviti luar ketika petang.

Ibu bapa bekerja menghadapi kekangan masa dan tenaga untuk makan bersama walaupun pada waktu makan malam. Jalan mudah diambil ramai ibu bapa adalah membeli makanan bungkus ketika perjalanan pulang dari tempat kerja.

Ia diakui satu alternatif, namun ramai bersetuju hidangan terbaik untuk keluarga ialah yang disediakan ibu di rumah. Seorang ibu pasti lebih selektif mengenai penggunaan dan penyediaan bahan mentah yang bersih dan elok.

Oleh itu, perintah kerajaan untuk tidak meninggalkan rumah tanpa sebab mustahak memberi lebih ruang dan peluang kepada ibu bapa menyediakan hidangan berkhasiat bagi seisi keluarga.

Seorang ibu perlu tahu penyediaan hidangan berkhasiat, tetapi ringkas dan mudah untuk dimasak. Paling penting, hidangan itu dapat menarik minat anak untuk makan bersama.

Bagi menyediakan hidangan berkhasiat, tidak semestinya menggunakan bahan mahal atau membabitkan masakan rumit. Apa yang penting hidangan lengkap dengan sumber karbohidrat, protein dan vitamin. Contohnya padanan roti bijirin penuh bersama telur dan sayur atau pasta ayam bersama brokoli.

Perkara penting perlu dipertimbangkan adalah hidangan disediakan mengikut selera kanak-kanak dan ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak mengambil makanan berkhasiat.

Penting juga mengambil hidangan utama pada waktu sepatutnya bagi membantu mengekang masalah pemakanan tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak.

Walaupun berdepan kesibukan bekerja dari rumah, ibu bapa perlu bijak menguruskan masa dengan penetapan waktu makan anak.

Kanak-kanak yang terlepas waktu makan akan lebih cenderung mendapatkan makanan segera. Ini mendedahkan mereka kepada risiko kekurangan zat.

Lebih membimbangkan, kanak-kanak mengambil makanan segera berisiko menjadi obes, namun masih kekurangan nutrisi. Hal ini terjadi apabila mereka makan makanan berkalori tinggi, tetapi rendah nutrisi penting seperti vitamin dan garam mineral yang datang daripada sumber buah dan sayur.

Struktur dan rutin waktu makanan ini juga membantu mengurangkan kegelisahan kanak-kanak dalam situasi PKPP.

Menyedari hakikat kepentingan pemakanan sihat untuk kanak-kanak, sangat penting untuk menerapkan amalan pemakanan yang dimasak segar.

Cadangan bagi menggalakkan kanak-kanak makan hidangan disediakan adalah dengan mengajak mereka untuk turut masak bersama.

Ibu bapa boleh meminta pandangan dan idea daripada anak untuk menyediakan hidangan. Terdapat kajian menyatakan kanak-kanak yang menyediakan hidangan sayur-sayuran bersama, lebih cenderung menikmati hidangan sayur itu.

Strategi ini boleh digunakan oleh ibu bapa terutama bagi kanak-kanak yang mungkin sedikit cerewet dan cenderung memilih makanan.

Ringkasnya, penyediaan makanan sihat kepada kanak-kanak dengan penekanan terhadap pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam tempoh PKPP membantu menguatkan imunisasi.

Lebih penting, ia juga menyediakan peluang menguatkan ikatan kekeluargaan serta dalam jangka panjang membina tabiat pemakanan sihat hasil daripada amalan pemakanan yang diterapkan sejak awal usia.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

 

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here