Diuji hilang anak selang setahun

0
186

SABAK BERNAM: “Dua tahun lalu saya kehilangan Laila Hayati kerana barah payu dara, semalam saya diuji lagi, kali ini Norhayati pula yang dijemput Ilahi,” kata Hasmah Sohor, 77.

Norhayati Abdullah, 42, yang juga anak bongsu Hasmah antara dua mangsa yang maut dalam insiden runtuhan perancah besi pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), semalam.

Hasmah berkata, pemergian Norhayati dimaklumkan oleh menantu, Zainal Yusof, 50, yang tinggal serumah dengannya.

“Saya tak tahu macam mana nak cerita. Kalau arwah sakit, boleh saya tengok lagi. Ini dah serta-merta (meninggal dunia).

“Arwah Laila Hayati meninggal dunia pada 9 Mac 2019, manakala arwah Norhayati pula meninggal dunia semalam. Mereka pergi dalam bulan yang sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap, Sungai Besar, di sini, hari ini.

Hasmah berkata, Norhayati seorang yang penyayang dan rapat dengan ahli keluarga terutama anak-anak saudara.

“Setiap kali arwah pulang bercuti, dia akan bawa anak-anak saudaranya berjalan-jalan ke pekan Bagan Terap. Kalau beli makanan, dia mesti beli lebih untuk mereka.

“Minggu lepas, arwah ada balik kampung bersama kakaknya, Sabahah. Dia pesan kepada anak-anak saudara supaya jaga saya baik-baik. Tak sangka itu pesanan terakhir daripadanya,” katanya.

Sementara itu, Sabahah berkata, jenazah Norhayati akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Pusing.

“Buat masa ini, kami menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu,” katanya.

Dalam kejadian semalam, sebuah treler membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan SUKE, menyebabkan berlaku runtuhan dan menghempap sebuah van pekerja.

Berikutan kejadian itu, dua daripada lima penumpang van maut.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here