Dua taman marin di Sabah bakal diwartakan

0
60

KUDAT: Kerajaan negeri bakal mewartakan dua taman marin baharu dalam tempoh terdekat terdekat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata ia membabitkan Taman Teluk Darvel di Lahad Datu dan Taman Marin Terumbu Mantanani di Kota Belud.

“Kementerian saya komited untuk memastikan biodiversiti marin khususnya ekosistem habitat terumbu karang terus terpelihara.

“Disamping itu, usaha ini juga disebabkan pihak saya mementingkan aspek keselamatan makanan, sara hidup mapan dan pembangunan ekopelancongan di perairan dan kepulauan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kapal Si Buding Taman Tun Mustapha di Jeti Marina Kudat, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan Taman Tun Mustapha, Jafry berkata pihaknya dimaklumkan terdapat pelan pengurusan khusus yang diusahakan bagi mengurus kawasan berkenaan.

Menurutnya, usaha membangunkan pelan pengurusan ini dimulakan sejak lama sebelum taman diwartakan, membabitkan perbincangan serta rundingan banyak pihak.

Taman Tun Mustapha merangkumi beberapa zon perairan iaitu Zon Pemeliharaan, Zon Kegunaan Komuniti, Zon Pelbagai Guna dan Zon Perikanan Komersial di mana setiap zon mempunyai objektif konservasinya sendiri bagi mengawal aktiviti tertentu.

Pewartaan Taman Tun Mustapha banyak memberi manfaat kepada komuniti khususnya melalui pembabitan program dalam Zon Kegunaan Komuniti.

Kapal Si Buding berperanan sebagai kemudahan pejabat dan stesen bergerak untuk Taman Tun Mustapha.

Sementara itu Jafry berkata beliau dimaklumkan beberapa program dilaksanakan Taman-Taman Sabah bersama pihak lain seperti WWF Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan beberapa agensi lain sedang berlangsung.

“Contohnya seperti kerjasama pelancongan komuniti Supirak-Pitas, pemeliharaan penyu di Tigabu, pelantikan Renjer Kehormat Taman, program kampung angkat dan pembangunan kawasan Zon Pemeliharaan Komuniti di Berungus.

“Juga Program Penambahbaikan Perikanan di beberapa kampung terpilih di Teluk Marudu yang mencetuskan kepada usaha berterusan memulihara industri perikanan secara mapan,” katanya.

Sumber: Berita  Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here