Ekonomi suku kedua dijangka menguncup

0
33

KUALA LUMPUR: Selepas mencatatkan pertumbuhan perlahan 0.7 peratus pada suku pertama 2020, ekonomi Malaysia dijangka menguncup untuk mencapai paras rendahnya pada suku kedua tahun ini sebelum pulih semula pada suku ketiga dan selanjutnya, kata ahli ekonomi.

Pelaksanaan langkah sekatan dan kawalan pergerakan di peringkat domestik dan antarabangsa bagi membendung penularan COVID-19 menjejaskan pertumbuhan ekonomi dengan unjuran penguncupan 6.7 peratus hingga 13 peratus pada suku kedua 2020.

Bagaimanapun, penganalisis berpandangan pembukaan semula perniagaan dan perkhidmatan di negara ini dilihat akan memberi sokongan kepada aktiviti ekonomi pada separuh kedua 2020.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua dijangka menguncup sekitar 7.0 peratus, paras terendah sejak suku pertama 2009, yang mana pada ketika itu KDNK negara mencatatkan pertumbuhan negatif 6.5 peratus.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu memberi kesan kepada perjalanan perniagaan dan pergerakan rakyat, yang mana kesan negatif itu amat dirasai pada April dan Mei 2020.

“Namun, apabila PKP dilonggarkan, kita dapat melihat pemulihan ekonomi yang menggalakkan. Contohnya, jualan kenderaan yang merudum ke paras terendah iaitu 141 unit pada April 2020 telah melonjak ke paras lebih 44,000 unit pada Jun,” katanya.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata, sentimen perniagaan yang diukur menerusi Indeks Pembelian Pengurus (PMI) pada Jun dan Julai melebihi paras 50 mata.

Justeru, beliau berkata, pemulihan ekonomi pada Jun dilihat dapat meminimumkan kesan negatif pada KDNK.

“Sekiranya proses pembukaan ekonomi terus berlaku dan jangkitan COVID-19 dapat dikawal dengan baik, maka prestasi ekonomi pada separuh kedua dijangka lebih baik,” katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual mengumumkan prestasi ekonomi suku kedua Malaysia pada Jumaat ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SERC Sdn Bhd, Lee Heng Guie pula menjangkakan prestasi buruk ekonomi negara pada suku kedua dengan jangkaan penguncupan lebih 10 peratus berikutan gangguan aktiviti ekonomi berikutan impak negatif penularan COVID-19.

Beliau berkata, KDNK, yang mengukur pertumbuhan ekonomi, mungkin mencapai paras rendahnya pada suku kedua 2020, yang mana kemudiannya ia akan pulih secara beransur-ansur bermula suku ketiga 2020.

Katanya, sebagai ekonomi yang terbuka dan negara berdagang, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima impak kelembapan ekonomi dunia.

“Bagi keseluruhan tahun, kami menjangkakan penguncupan (KDNK) 3.0 peratus. Suku kedua 2020 adalah paling teruk,” katanya.

Bagi Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, ekonomi negara ini sedang menuju ke arah pertumbuhan dan kestabilan.

Tegasnya, aspek yang sangat penting ketika ini ialah kestabilan ekonomi makro.

“Kami terus utuh dengan tinjauan ekonomi yang kukuh meskipun ekonomi global masih rapuh pada peringkat makro. Kami mengunjurkan KDNK bagi 2020 pada paras 1.0-2.0 peratus,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd, Manokaran Mottain pula mengunjurkan KDNK Malaysia mencatatkan penguncupan 6.7 peratus pada suku kedua 2020, manakala bagi keseluruhan 2020 pula dijangkakan penguncupan tiga peratus.

AmBank Research pula mengunjurkan ekonomi Malaysia akan menguncup antara 10 peratus hingga 13 peratus pada suku kedua 2020.

Sumber: Berita harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here