Elaun pembantu penyelidik siswazah naik ikut kelayakan akademik

0
97

PUTRAJAYA: Elaun kira-kira 11,000 pembantu penyelidik siswazah (GRA) dalam skim pembiayaan Dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dinaikkan mengikut kelayakan akademik bermula tahun ini.

MOSTI dalam kenyataan hari ini, memaklumkan elaun GRA Doktor Falsafah dinaikkan kepada RM3,200 manakala GRA Sarjana pula RM3,000.

“Elaun GRA ini perlu ditambah baik selari dengan kemahiran yang dimiliki oleh mereka dan selepas mengambil kira kadar elaun semasa yang diterima sebelum ini.

“Ia turut mengambil kira mengenai gaji permulaan (termasuk elaun) pegawai teknikal penyelidik dan sains yang bertaraf tetap; kadar inflasi mengikut kiraan Indeks Harga Pengguna; dan taburan pendapatan isi rumah mengikut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya.

Selain GRA, MOSTI turut memperluaskan kenaikan elaun kepada Pegawai Penyelidik (RO) yang akan dilantik oleh Agensi STI Kerajaan, syarikat pemula (startups); perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk projek R&D dengan syarat pihak penerima dana berkolaborasi dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan RO yang dilantik hendaklah mempunyai kelayakan akademik bersesuaian dengan projek R&D yang dilaksanakan.

“MOSTI berharap elaun GRA dan RO yang akan dilaksanakan ini mampu menyokong hasrat kerajaan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) bagi membangun, memupuk dan menggilap bakat dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Katanya, generasi muda yang kompeten terutama yang menceburi bidang STI amat penting dalam menggerakkan agenda berkenaan di dalam negara ini kerana ia dapat menterjemahkan idea dan menggalakkan penciptaan teknologi yang dapat memacu ekonomi negara.

“Perkara ini sejajar dengan hasrat MOSTI untuk mensasarkan bilangan penyelidik kepada 130 bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang tahun 2025 dalam DSTIN 2021-2030 bawah Teras 4.

“Elaun kepada GRA adalah salah satu skop pembiayaan yang ditanggung oleh MOSTI. GRA bertanggungjawab untuk membantu penyelidik atau pensyarah melaksanakan tugas penyelidikan seperti melakukan kerja makmal, melakukan analisis, mengutip sampel di lapangan dan lain-lain tugasan berkaitan projek penyelidikan,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, pada tahun 2006 hingga tahun lalu, siling elaun yang dibenarkan untuk dibayar kepada seorang GRA di bawah Dana R&D MOSTI adalah sebanyak RM2,500 sebulan dalam tempoh antara 18 hingga 36 bulan.

“Kadar elaun yang ditawarkan sebelum ini masih rendah berbanding jawatan lain dengan kelayakan akademik yang sama.

“Hasrat utama MOSTI dan Kerajaan adalah supaya projek penyelidikan yang dilaksanakan di institut pengajian tinggi dan pusat penyelidikan kerajaan dapat menjadi platform serta pemangkin pertumbuhan ekonomi,” katanya.

MOSTI berkata, bawah Program Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU), terdapat lima Dana Penyelidikan yang ditawarkan oleh MOSTI dan empat daripadanya ialah Dana Penyelidikan Strategik (SRF); Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1); Dana Pembangunan Teknologi 2 (Ted2); dan Dana Bridging (BGF).

“Dana berkenaan menawarkan lantikan GRA dengan jumlah elaun yang spesifik mengikut tahap pengajian yang sedang dijalani. Melalui pembiayaan R&D ini MOST yakin ia dapat menghasilkan graduan dan bakat yang berkualiti tinggi.

“Graduan yang dilantik ini akan meneruskan kerjaya dalam bidang pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan dilengkapi kemahiran dan kompetensi yang bersesuaian sekaligus mempunyai daya saing untuk kerjaya masa hadapan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here