Enam beranak nyaris rentung kereta terbakar

0
292

GUA MUSANG: Enam beranak nyaris rentung selepas kereta yang mereka naiki terbakar di Kilometer 23, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, malam tadi.

Kejadian berlaku jam 9.30 malam di Kampung Gua Sejuk ketika mereka dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo, berkata orang ramai melihat kejadian membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta berkenaan.

Katanya, mereka yang berada di dalam kereta ketika kejadian ialah pemandu, Muhamad Khairol Azuan Mat Salleh, 46, dan isterinya, Rozila Salji, serta empat anak mereka iaitu Amanina Muhamad Khairol Azuan,17, Amani 14, Ammarah,11, dan Amnani, 10.

Semua mereka yang berasal dari Kampung Chegar Medang, Bentong Pahang, terselamat dan tiada yang cedera.

“Kereta Produa Myvi yang dipandu Muhamad Khairol Azuan dikatakan tiba-tiba berasap di bahagian enjin sebelum segera memberhentikan kenderaan.

“Sebaik berhenti, api mula merebak dengan cepat dan orang ramai yang turut berhenti membantu mengeluarkan mangsa,” katanya di sini, pagi ini.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang berjaya memadamkan kebakaran jam 10 malam.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here