FAMA bantu promosi strawberi Cameron Highlands

0
121

CAMERON HIGHLANDS: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tampil membantu mempromosikan produk strawberi keluaran pusat pelancongan Cameron Highlands sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Pengarahnya, Mohamad Mustahapa Awang, berkata pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk membantu mempromosikan hasil pertanian berkenaan yang pasarannya kini agak terhad berikutan kekurangan pelancong.

Katanya, antara aktiviti promosi dilakukan ialah mengatur pasaran secara berterusan ke luar negeri ini seperti di Kelantan, Lembah Klang dan Selangor, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan.

Katanya, FAMA Pahang dengan kerjasama FAMA daerah turut membantu mengadakan promosi jualan di Kuantan dan Jerantut. Usaha berkenaan dilihat berkesan dalam membantu pekebun strawberi.

“Kita hanya mampu mengadakan promosi secara berterusan, selebihnya perlu dilakukan pekebun. Sebagai contoh mengadakan aktiviti jualan keluar dari Cameron Highlands.

“Sebelum ini pasaran strawberi tidak dapat dilakukan sepanjang PKP namun kini selepas kebenaran merentas daerah aktiviti perniagaan dan pelancongan kembali rancak,” katanya, dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, tidak dinafikan pasaran pelbagai hasil pertanian di Cameron Highlands sebelum ini terjejas apabila aktiviti pelancongan di tanah tinggi itu terhenti berikutan PKP.

Mohamad Mustahapa berkata, untuk pasaran hasil pertanian pekebun juga digalakkan secara dalam talian menerusi Agrobazaar Online, Facebook Marketplace dan medial soaial lain.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, berkata sokongan diberikan FAMA berupaya membantu golongan pekebun sayur dan strawberi yang terkesan sepanjang PKP.

Katanya, promosi yang dilakukan FAMA dapat membantu memasarkan buah strawberi segar ke beberapa negeri terutama apabila jualan hasil pertanian tidak dapat dilakukan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here