Gaji minimum persetujuan antara pekerja, majikan

0
153

SHAH ALAM: Penawaran gaji minimum adalah tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan antara bakal pekerja serta majikan walaupun kerajaan menerusi Seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265) sudah menetapkan gaji minimum.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menegaskan, bahawa semua majikan masih tertakluk kepada akta berkenaan dan tiada kelonggaran diberikan walaupun dalam pandemik COVID-19.

“Kita tidak pernah mengubah gaji minimum, ia kekal seperti dalam akta dan hanya Parlimen boleh membuat sebarang perubahan.

“Bagaimanapun, dalam keadaan hari ini (kelembapan ekonomi), ada juga majikan beri tawaran pekerjaan secara separuh masa dengan gaji harian.

“Saya cadangkan, mereka terima sahaja tawaran gaji sedia ada daripada menganggur. Ini bukan pendirian kerajaan, sebaliknya ia adalah antara pekerja dan majikan itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas hadir ke Program Malaysia Prihatin dan Majlis Penyerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja, Kamal Pardi.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas isu gaji permulaan graduan yang memasuki pasaran pekerjaan tahun lalu didapati lebih rendah, berbanding tahun sebelumnya susulan ekonomi terjejas akibat COVID-19.

Terdahulu, Saravanan terdahulu menyerahkan GPKS kepada 48 kesatuan sekerja zon tengah dengan dana berjumlah RM314,50.

Beliau berkata, dana bagi setiap kesatuan diberikan mengikut permintaan mengikut aktiviti yang akan dilaksanakan.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 128 permohonan diluluskan daripada 210 yang diterima daripada seluruh negara membabitkan dana berjumlah RM1 juta.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here