Gambar lama tular seolah-olah polis tak bertindak’

0
292

JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan berlaku kegiatan pelacuran di sebuah hotel di Jalan Haji Abu Bakar, Muar susulan gambar yang tular di laman sosial Facebook (FB) kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata gambar yang memperlihatkan individu dipercayai warga asing berbaris dan berkumpul di hadapan premis itu adalah gambar lama yang ditularkan semula, menunjukkan seolah-olah polis tidak mengambil tindakan.

Sebelum ini, katanya, polis melakukan tiga serbuan ke atas premis terbabit iaitu masing-masing pada 10 Jun dan 4 September 2018 serta 11 Julai tahun lalu.

“Hasil serbuan ketika itu, seramai 19 individu membabitkan 11 wanita tempatan dan asing serta lapan lelaki tempatan dan asing ditahan.

“Mereka disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 372 A Kanun Keseksaan, Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Bertindak atas maklumat yang ditularkan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membuat pemeriksaan ke atas premis dan pemeriksaan mendapati premis itu tutup serta tidak lagi beroperasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati hotel berkenaan berhenti beroperasi sejak Mac lalu.

Katanya, kawasan itu adalah tumpuan warga asing melepak terutama pada hujung minggu kerana berdekatan dengan bank dan kedai telefon bimbit.

“Polis Johor amat mengalu-alukan maklumat orang ramai, namun orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan aplikasi sosial media dengan menyebarkan berita palsu dan tidak sah bertujuan membuat spekulasi tanpa mengetahui perkara benar.

“Ia boleh menggugat ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat serta menimbulkan persepsi negatif kepada pihak polis,” katanya.

Sumber: Berita harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here