Gangguan bekalan air di 44 kampung di Bachok 13-22 Julai

0
46

KOTA BHARU, 9 Julai — Sebanyak 44 kampung di Bachok akan mengalami gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja kecemasan pembaikan Sistem ‘Chemiless’ di Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Chap yang rosak, bermula 13 hingga 22 Julai ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Latihan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Mohd Noor Awang berkata gangguan itu membabitkan 6,025 akaun pengguna.

Beliau berkata kerosakan yang mula dikesan pada Februari lepas menyebabkan gangguan kepada kualiti dan kuantiti bekalan air terawat, siasatan mendapati terdapat pasir di dalam tangki dan menjejaskan sistem penapisan.

“AKSB sudah memanggil beberapa kontraktor berkelayakan untuk membuat penilaian. Dengan anggaran kos sebanyak RM20,000 kerosakan yang berlaku akan diperbaiki dan dijangka siap dalam tempoh 10 hari,” katanya pada sidang akhbar di Wisma AKSB di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Noor berkata LRA Kampung Chap mampu membekalkan sebanyak 10 juta liter air sehari kepada pengguna di kawasan berkenaan namun akan dikurangkan kepada 5 juta liter pada peringkat awal pembaikian pada 13 hingga 17 Julai.

Katanya, mulai 18 hingga 22 Julai pula loji tidak akan beroperasi dan tiada pengeluaran air terawat disebabkan kerja-kerja pencucian jajaran paip dan pencucian tangki air bersih.

“Disebabkan ini pengguna diharap dapat menyimpan bekalan air secukupnya dan berhemah ketika menggunakan sumber berkenaan.

“Bagaimanapun, AKSB akan membekalkan air terawat kepada pengguna di kawasan terjejas melalui enam lori setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 6 petang selain turut menyediakan 11 tangki statik di sekitar kawasan perumahan, masjid, madrasah serta sekolah untuk kegunaan penduduk di sekitar,” katanya.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here