Gangguan bekalan air di 948 kawasan pulih sepenuhnya

0
26

SHAH ALAM: Hulu Selangor menjadi kawasan pertama di Selangor yang pulih sepenuhnya daripada gangguan bekalan air pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata Kuala Selangor kini berada pada tahap 99.25 peratus, diikuti Petaling yang mencapai 91.78 peratus.

“Peratusan pemulihan bagi Gombak pula pada tahap 72.99 peratus, diikuti dengan Kuala Langat yang masih kekal 50 peratus sejak semalam.

“Sementara itu, Kuala Lumpur pada 47.37 peratus dan Klang/Shah Alam berada pada 38.42 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata, sehingga jam 6.30 pagi ini, sebanyak 948 kawasan pulih sepenuhnya, manakala 344 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

“Secara keseluruhan, 73.37 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini pulih sepenuhnya.

“Bagi kawasan kumpulan 1 membabitkan 69 kawasan yang sepatutnya pulih sepenuhnya 12 tengah malam tadi tetapi tidak berlaku adalah disebabkan oleh penyimpanan air berlebihan oleh pengguna yang mula menerima bekalan air.

“Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan ini,” katanya.

Beliau juga menasihatkan pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

“Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat melalui hebahan rasmi atau saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini.

“Pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info terkini bekalan air.

“Kami mohon kerjasama pengguna untuk tidak menyebarkan mesej tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain,” katanya.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here