Gelang Patah ditakluki warga asing

0
1003

ISKANDAR PUTERI: Gelang Patah, di sini, ibarat ditawan warga asing apabila deretan kedai dikuasai pendatang sejak lebih lima tahun lalu, sekali gus mendatangkan kebimbangan risiko penularan wabak COVID-19 di kawasan itu.

Tinjauan di Medan Nusa Perintis 1, Gelang Patah, mendapati terdapat lebih 20 premis perniagaan atau kedai yang dikendalikan warga Bangladesh dan Pakistan.

Antara perniagaan yang dijalankan mereka termasuklah kedai runcit, pakaian, restoran, kedai serbaneka selain kedai permaidani dan perhiasan rumah.

Mereka turut memasang poster mengiklankan pelbagai perkhidmatan ditawarkan termasuk penghantaran pulang wang ke negara mereka dalam bahasa ibunda masing-masing, sekali gus menjadikan pengunjung seperti berada di negara asing.

Seorang penduduk tempatan, Mohd Hafiz Daud, 39, berkata kewujudan deretan kedai warga asing itu menimbulkan kerisauan kepada penduduk tempatan di sebalik penularan wabak COVID-19 yang turut dikaitkan dalam kalangan pendatang asing.

“Penduduk pernah membuat aduan tetapi isu ini tidak pernah diselesaikan sehingga menimbulkan persoalan dari mana mereka mendapat lesen berniaga.

“Sekarang dengan kebimbangan terhadap wabak COVID-19, kami berharap pihak berkuasa mengambil serius masalah ini, apatah lagi kawasan ini seolah menjadi tempat mereka berkumpul setiap kali waktu petang dan malam dengan kebanyakan mereka langsung tidak memakai pelitup separuh muka pun.

“Tidak mustahil kawasan Gelang Patah akan jadi lubuk wabak yang bakal meletup pada bila-bila masa jika pihak berkuasa menutup sebelah mata,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk Gelang Patah, Azizah Sapari, 47, berkata perniagaan warga asing di situ bertahan lama berikutan disokong komuniti mereka sendiri yang bekerja di kawasan perindustrian.

“Kalau orang luar datang sini mesti mereka akan panggil kawasan ini sebagai Mini Bangladesh kerana deretan kedai di sini semuanya kedai milik warga berkenaan.

“Orang kita memang tidak berbelanja di situ kerana suasana deretan kedai pun kotor dan menjijikkan disebabkan mereka tidak pandai menjaga kebersihan, sekali gus mencemarkan suasana kawasan ini, ” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil, berkata kerajaan negeri akan memastikan tidak ada lagi warga asing yang berniaga termasuk menjadi penjaja mahupun diambil bekerja di mana-mana pasar awam selain premis perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Katanya, tindakan tegas itu diperkasakan dengan lebih agresif selepas mengambil kira masa depan peniaga tempatan berikutan keadaan ekonomi kini yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kesemua 16 PBT di Johor ini akan ditugaskan untuk menyemak status peniaga sedia ada serta melakukan pemeriksaan di setiap pasar awam dan premis milik PBT mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja PBT Negeri Johor.

“Peniaga warga tempatan juga boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya memberi peluang kepada warga asing ini dengan menyewa atau memberikan lesen atau permit perniagaan mereka kepada warga asing yang mahu berniaga.

“Kerajaan negeri di bawah PBT juga boleh mengambil tindakan seperti pembatalan lesen niaga dan melucut hak pemilikan premis perniagaan PBT yang diberikan kepada warga tempatan jika didapati memberi peluang berniaga kepada warga asing. Ia juga adalah termasuk warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing.

“Kita tidak mahu sekiranya operasi dilakukan, warga asing ini boleh berlindung dan tidak mahu bertanggungjawab dengan memberikan alasan mereka hanya diambil bekerja dan bukan sebagai orang yang mengendalikan aktiviti perniagaan itu,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here