GOMSPV tumpu pelaksanaan rangkaian 5G

0
101

KUALA LUMPUR: Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia (GOMSPV) yang dikawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan rangkaian 5G.

Ia bagi membolehkan penyedia perkhidmatan sedia ada meneruskan pelaksanaan gentian optik dan memperbaiki liputan serta kualiti 4G.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, justeru beban 5G tidak diletakkan pada penyedia perkhidmatan, sekali gus memastikan risiko jurang digital berada pada tahap minimum dengan penerusan pelaksanaan gentian optik dan rangkaian 4G.

Selain itu, katanya, akan ada pembabitan sektor swasta yang dijelaskan secara lebih menyeluruh oleh GOMSPV, tidak lama lagi.

“SKMM memfokus usaha menggalakkan pelaburan dalam sektor betul, termasuk perkhidmatan inovatif dan mampu mencetuskan perubahan kepada pengguna, perusahaan serta negara, sambil memastikan jurang digital berada pada tahap minimum,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, spektrum disediakan kepada GOMSPV akan membina rangkaian dan menawarkan kapasiti secara borong.

Katanya, model bukan bidaan diterima pakai adalah sebahagian usaha untuk tidak meletakkan beban kos kepada rangkaian baharu, selain memastikan elemen rangkaian sedia ada akan digunakan dan GOMSPV hanya membuat elemen rangkaian yang baharu.

“GOMSPV akan menawarkan perkhidmatan secara borong dengan telus dan dikawal selia.

“Penyedia perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan runcit pula akan mempunyai akses terbuka, saksama dan setara kepada rangkaian baharu.

“Ini adalah petunjuk kukuh ke arah pengurangan persaingan berasaskan infrastruktur dan mempertingkat persaingan berasaskan perkhidmatan,” katanya.

Katanya, ia bakal memanfaatkan pengguna, malah mengurangkan aliran keluaran asing, terutama untuk peralatan baharu jika ada pelbagai pemain yang membina rangkaian.

“Penyedia perkhidmatan runcit boleh melabur dalam perkhidmatan lebih inovatif bagi membantu mereka menjana pendapatan lebih baik.

“Pengguna juga dapat menggunakan perkhidmatan baharu untuk menjana lebih banyak ekonomi berkaitan digital,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here