Guna YouTube hasilkan ‘motor sikal’

0
9

JERANTUT: Seorang anak muda di FELDA Jengka 8 dekat sini memanfaatkan waktu terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengubah suai rangka motosikal ayahnya menjadi kenderaan berenjin.

Hasil kerja bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Bahtiar Othman, 33 yang dipanggil ‘motor sikal’ berjaya menarik perhatian penduduk FELDA Jengka 8.

Pemuda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Linguistik, UKM itu menggabungkan komponen basikal dan motosikal menjadi kenderaan bermotor, seolah olah melihat basikal berenjin.

Beliau berkata, idea itu bermula dengan niatnya untuk ‘menghidupkan’ kembali motosikal lama Honda C-70 milik ayahnya ketika mula masuk ke rancangan FELDA itu.

“Saya belajar mengubahsuai motosikal melalui YouTube dan mengambil masa kira-kira sebulan bagi menyiapkan ‘Motor Sikal’ ini.

“Saya mendapat ilham mengubahsuai kenderaan ini apabila melihat banyak terdapat di Indonesia kerana di negara jiran itu banyak kenderaan diubah suai bagi pelbagai guna dan sekali gus mencetuskan idea untuk menghidupkan kembali rangka motosikal itu,” katanya.

Beliau berkata, komponen ‘Motor Sikal’ ialah daripada rangka asal motosikal Honda Cup C-70, injin Honda EX5 terpakai yang dibeli secara dalam talian dan pemegang basikal BMX dan tempat duduk basikal.

Katanya, usaha menggabungkan kedua-dua komponen kenderaan itu selepas melakukan pengubahsuaian ternyata `menjadi’.

“Saya namakan ‘Motor Sikal’ kerana ia adalah gabungan dan pengubahsuai injin Honda Ex-5 yang digabungkan rangka Honda C-70 dan komponen basikal.

“Pengubahsuaian lain ialah tabung besi yang boleh memuatkan 1 liter petrol diletakkan dipalang tengah kenderaan berkenaan. Saya juga mengubahsuai penyerap hentak ‘Motor Sikal’ bagi tujuan meminimumkan gegaran dan lantunan kenderaan.

“Motor Sikal’ ini menggunakan tayar motosikal bersaiz kecil yang sesuai dengan rangka asal Honda Cup C-70,” katanya yang mengusahakan kedai tayar kereta di Simpang Jengka 8, di sini.

Beliau membelanjakan kira-kira RM2,000 bagi mencipta ‘Motor Sikal’ berkenaan yang disiapkan dalam masa sebulan dan setakat ini belum berhasrat untuk menjualnya.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here