Guru wanita rugi RM3,300 ditipu jual beli gelang emas

0
318

KUANTAN: Hasrat seorang guru wanita di Bentong untuk melaram gelang emas baharu tidak kesampaian apabila diperdayakan seorang lelaki yang kononnya menawarkan harga promosi barang kemas berkenaan kepada mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula apabila mangsa berusia 40 tahun melihat iklan barang kemas itu di Instagram sebuah kedai emas.

Katanya, mangsa kemudian menghantar mesej ke instagram berkenaan sebelum menerima mesej daripada seorang lelaki yang mendakwa pekerja kedai berkenaan, semalam.

“Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa bersetuju membeli barang kemas berkenaan dengan harga RM3,300 iaitu harga promosi yang diberikan lelaki ini.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa membuat pindahan wang sebanyak RM3,300 melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas itu, mangsa baru menyedari yang akaun yang dipindahkan wang berkenaan adalah akaun peribadi dan bukan akaun syarikat milik kedai emas berkenaan.

Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

“Modus operansi suspek adalah dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penjualan gelang emas yang tidak wujud sehingga pengadu kerugian sebanyak RM3,300.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here