Hanya 46 majikan di Kelantan buat permohonan perakuan penginapan

0
124

KOTA BHARU: Hanya 46 daripada 456 majikan yang menggaji pekerja asing di negeri ini membuat permohonan perakuan penginapan penginapan di bawah Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Sebanyak 38 daripada permohonan itu sudah diluluskan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) manakala lapan lagi masih dalam proses.

Pengarah JTK negeri Kelantan, Sulkifli Silang, berkata statistik itu menunjukkan, kesedaran majikan untuk menyediakan kemudahan penginapan yang lengkap untuk pekerja masih rendah.

“Saya menyeru agar semua majikan untuk hadir ke pejabat JTK membuat permohonan menyediakan tempat tinggal dan penginapan yang mengikut standard untuk pekerja.

“Di bawah akta itu menetapkan mana-mana majikan yang menggaji pekerja asing perlu menyediakan tempat tinggal yang kondusif dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Sekiranya gagal, majikan boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM50,000 atau tidak melebihi penjara setahun,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah tapak pembinaan di Tunjong di sini, hari ini.

Sulkifli berkata, bermula Oktober tahun lalu hingga kini, lebih 250 lawatan serta pemeriksaan sudah dibuat membabitkan tempat tinggal pekerja dan daripada jumlah itu enam majikan dalam proses pendakwaan.

Dalam lawatannya ke tapak pembinaan di Tunjong pada hari ini, tinjauan mendapati suasana tempat tinggal yang disediakan majikan tidak menepati piawaian apabila dilihat padat, tidak disediakan beberapa kelengkapan malah ruang juga agak terhad.

Tinjauan mendapati, ruang dapur yang disediakan majikan untuk pekerja binaan yang majoritinya daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia sangat kotor serta berbau.

Bukan itu sahaja, sebanyak 18 kabin dan 12 rumah kongsi yang dijadikan tempat tinggal buat 70 hingga 80 pekerja tapak binaan juga diubahsuai penghuninya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here