Hasil sektor perkhidmatan suku keempat 2020 naik

0
68

KUALA LUMPUR: Hasil sektor perkhidmatan naik 1.7 peratus kepada RM435.9 bilion pada suku keempat 2020 berbanding suku ketiga tahun yang sama, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan dalam segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, yang meningkat 1.5 peratus kepada RM351.3 bilion, diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan yang naik 3.4 peratus kepada RM61.9 bilion.

Beliau berkata, jumlah hasil pada suku keempat 2020 merosot 5.1 peratus kepada RM23.3 bilion, manakala hasil keseluruhan bagi tahun 2020 berkurangan 8.1 peratus kepada RM1.63 bilion daripada RM1.78 bilion sebelum ini.

Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja dalam sektor itu merosot 0.3 peratus kepada 3.7 juta orang, disumbang oleh subsektor maklumat dan komunikasi (-4.4 peratus), diikuti subsektor pengangkutan dan penyimpanan (-0.8 peratus).

“Bagi perbandingan tahun ke tahun, jumlah pekerja berkurangan sebanyak 3.4 peratus atau 128,705 orang pada suku keempat 2020.

“Gaji dan upah yang dibayar turut menunjukkan penurunan sebanyak RM25.9 juta suku ke suku, disumbangkan oleh subsektor pendidikan dengan penurunan sebanyak RM37.0 juta atau -3.2 peratus.

“Bagi perbandingan tahun ke tahun, gaji dan upah pada suku keempat 2020 merekodkan penurunan sebanyak 4.5 peratus kepada RM24.7 bilion, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, indeks volum perkhidmatan mencatatkan kenaikan sebanyak 0.3 peratus dari segi suku ke suku, daripada 123.4 mata pada suku ketiga 2020 kepada 123.8 mata pada suku keempat 2020.

Mohd Uzir berkata, segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan meningkat 1.1 peratus dan segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan, 0.9 peratus, menjadi penyumbang utama kepada peningkatan suku tahunan dalam sektor perkhidmatan.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, indeks volum perkhidmatan merosot 7.1 peratus kepada 123.8 mata pada suku keempat 2020.

“Bagi keseluruhan tahun 2020, indeks ini menurun 8.0 peratus kepada 118.6 mata berbanding 6.4 peratus daripada 128.9 mata pada 2019,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here