Hasilkan produk guna alternatif lebih mesra alam

0
108

KUALA LUMPUR: Semua pemain industri dalam pelbagai sektor perniagaan diminta menggembleng usaha mencari alternatif lebih mesra alam dalam penghasilan dan pembungkusan produk.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerjasama itu mampu mengubah dunia menjadi lebih kondusif dan selamat untuk generasi akan datang.

Pada masa sama, katanya, peranan berterusan dimainkan badan bukan kerajaan (NGO) juga berupaya mengubah minda pengguna.

Beliau berkata, NGO melaksanakan pelbagai aktiviti dan program kepenggunaan seperti pendidikan, kitar semula serta hidup sihat.

Katanya, langkah itu dapat memberi impak positif terhadap daya fikir orang ramai dalam menghadapi isu kepenggunaan yang semakin mencabar.

“Pelaksanaan usaha murni itu dapat melahirkan pengguna bijak yang mampu bertindak melindungi hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia serta Hari Pengguna Kebangsaan 2021 yang boleh diikuti menerusi laman sosial Facebook rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pengguna harus mengambil langkah sewajarnya untuk merealisasikan matlamat kerajaan mewujudkan alam sekitar yang sihat demi kelangsungan kehidupan generasi pada masa depan.

“Sebagai contoh, sedikit usaha pengguna seperti pelaksanaan konsep 7Rs (rethink, refuse, reduce, reuse, recycle, repair and replace) mampu memberi impak tinggi dalam menguruskan bahan buangan plastik dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP sudah membangunkan pelbagai inisiatif memperkasakan pengguna, termasuk Aplikasi Price Catcher yang membantu dari segi perbandingan harga bagi mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

“Selain itu, Aplikasi MySales Tracker bertujuan memberikan kemudahan kepada pengguna untuk membuat semakan aktiviti jualan murah di sekitar lokasi mereka.

“KPDNHEP juga mempunyai sembilan saluran aduan untuk orang ramai menyalurkan sebarang isu berkaitan kepenggunaan dan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM),” katanya.

Beliau menjelaskan, TTPM adalah satu platform alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna memfailkan tuntutan tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan.

“Bagi tempoh 2015 hingga Februari lalu, sebanyak 32,550 kes pemfailan direkod membabitkan jumlah tuntutan sebanyak RM176,035,149.10,” katanya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here