Hikmah pengharaman babi.

0
180

BARU-BARU ini, dilaporkan kisah penderitaan yang sudah lama dialami masyarakat sekitar kawasan Tasek Gelugor, Pulau Pinang akibat pencemaran sungai akibat najis babi sehingga menjejaskan alam sekitar, sumber ekonomi penduduk setempat serta mengganggu keselesaan penduduk sekitar.

Sungai yang asalnya jernih bertukar menjadi hitam pekat, udara yang asalnya segar bertukar menjadi busuk terutama pada waktu malam, nelayan sekitar yang dapat berkongsi rezeki di sungai berhampiran hilang punca pendapatan akibat pembuangan sisa najis babi secara berleluasa di kawasan itu lebih 40 tahun yang lalu.

Bayangkan, kawasan sekitar yang didiami majoritinya masyarakat Melayu Islam dilanda malang akibat penternakan ratusan ribu babi di kawasan itu. Kawasan sungai sekitar seperti Sungai Korok, Sungai Kreh Tasik, Parit Kampung Selamat, Sungai Kreh Mati, Sungai Kecil Pokok Machang, Parit Malakof, Sungai Lubuk Meriam dan Sungai Lubuk Meriam Dalam di daerah itu amat serius jika tidak di atasi dengan segera.

Malahan, pencemaran akibat najis babi yang kronik ini bukan sahaja menyebabkan penduduk berdepan masalah pencemaran bau, malah ada di antara penduduk mengalami gejala gatal-gatal badan dan sesak nafas akibat terhidu bau busuk dari sungai dicemari najis babi.

Lebih menyedihkan, lebih 400 pesawah padi di dua perkampungan di sini terjejas pendapatan mereka ekoran pencemaran sisa babi dari kandang ternakan haiwan itu di Kampung Selamat yang disalurkan ke sungai berhampiran.

Hal ini sekali gus menyebabkan hasil tanaman padi di Kampung Air Melintas Kecil dan Kampung Air Melintas Besar gagal dimaksimumkan sebaik mungkin untuk menghasilkan kualiti padi yang baik di mana ia merupakan makanan ruji masyarakat di negara ini.

Walaupun terdapat undang-undang berkaitan seperti yang ditetapkan di dalam Enakmen serta Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020 yang berkuat kuasa bermula 1 Mac 2020, sejauh mana pengusaha ternakan babi ini mengamalkan peraturan itu seperti menaik taraf kepada sistem kandang tertutup, kumbahan sifar, zon penampan dan mengamalkan amalan penternakan yang baik.

Kisah derita penduduk di kawasan Tasek Gelugor ini sebenarnya hanyalah sekelumit penderitaan masyarakat di seluruh negara yang berdepan dengan pencemaran alam sekitar terutama melibatkan najis babi.

Dalam Islam, babi dikategorikan sebagai salah satu daripada najis mughallazah (najis berat). Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: Ayat 173)

Selain itu, Imam al-Nawawi juga menerangkan ijma’ pengharaman memakan sebarang bahagian daripada babi: “Telah berijma’ umat Islam ke atas pengharaman lemak, darah dan setiap bahagian babi.” Oleh itu, Ini menunjukkan pengharaman memakan babi bukan hanya pada daging sahaja, tetapi juga pada tulang, lemak, kulit dan sebarang organ yang bersangkutan dengannya.

Imam Jalaluddin al-Suyuti dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Jalalayn mengenai pengharaman babi menyebutkan bahawa: “Syarak menyebut daging secara khusus kerana itulah subjek yang lebih banyak dan ketara sedangkan bahagian-bahagian lain itu hukumnya mengikut hukum daging itu.”

Berdasarkan pandangan Mazhab Syafie, sekiranya seseorang terkena najis babi, terdapat pendapat yang mewajibkan untuk membasuh kesan babi dengan air tanah adalah pendapat mazhab Syafie kerana mereka menyamakannya dengan anjing atau pun lebih najis daripada anjing.

Hujah ini disokong tokoh besar dalam mazhab al-Syafie seperti Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman, seorang ilmuwan dalam mazhab al-Syafie yang menukilkan bahawa babi hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam mazhab al-Syafie.

Malah, kebanyakan ulama dalam mazhab Syafie juga berpandangan wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, babi dan apa yang lahir daripada kedua-duanya.

Mereka beristidlal pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah.

Dalam permasalahan ini, mereka mengqiyaskan babi dengan anjing kerana lebih buruk keadaannya dan diharamkan di dalam al-Quran berbanding anjing. Manakala ulama al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau babi).

Bagi membersihkan najis mughallazah seperti babi, tanda-tanda yang perlu diperhatikan dalam bab menyucikan kawasan yang terkena najis itu ialah sifat ain najis itu sendiri yakni bau, warna dan rasa.

Hal ini bermaksud seseorang itu perlu mengetahui sama ada dengan penglihatan, bau dan rasa berlaku perpindahan najis mughallazah yakni babi dan anjing kepada tempat-tempat yang suci seumpamanya, barulah kewajipan menyertu itu wujud dan terpakai.

Bagi mereka yang agak sukar untuk melaksanakan kaedah basuhan secara tasbi’ (tujuh kali basuhan) dan tatrib (mencampurkan air dengan tanah) akan menyebabkan kesukaran atau bahaya kerosakan pada peralatan contohnya, setelah tahkik bahawa memang ada kawasan-kawasan yang dicemari najis babi, maka boleh bertaqlid kepada qaul kedua Imam al-Syafie seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “Adapun babi maka hukumnya sama seperti anjing pada isu ini (tasbi’ dan tatrib). Inilah mazhab kami (pendapat muktamad Syafieyyah). Adapun jumhur ulama berpendapat bahawa babi, (penyuciannya) tidak memerlukan kepada basuhan tujuh kali dan ini juga salah satu pendapat al-Syafie. Dalilnya jua kuat (disisiku, yakni al-Nawawi).”

Memetik kata-kata Imam al-Syafie dalam al-Hawi al-Kabir yang dinukilkan oleh Imam al-Mawardi: “Allah SWT tidak mengharamkan suatu benda melainkan dia mencukupkan (manusia) dengan penggantinya daripada jenis yang diharuskan. Maka sesungguhnya Dia mengharamkan zina, tetapi mengharuskan nikah, mengharamkan daging babi tetapi mengharuskan daging unta, mengharamkan sutera (untuk lelaki), tetapi mengharuskan bulu biri-biri dan kapas.”

Ini jelas membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang mudah dan tidak memberatkan umatnya dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi ini.

Penulis Penuntut di Universiti Sains Malaysia

SUMBER: HARIAN METRO

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here