Hospital Pendang siap Disember 2021

0
37

PENDANG: Projek pembinaan Hospital Pendang yang mengalami kelewatan sebelum ini, dijadual siap Disember tahun hadapan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelewatan pembinaan hospital berkenaan disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kini kontraktor sudah menyambung kembali kerja berkaitan.

Katanya, kerja pembinaan sudah mencapai tahap 30 peratus dan kontraktor diminta bekerja keras bagi memastikan pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

“Tidak berlaku kelewatan luar biasa pada projek pembinaan Hospital Pendang, cuma ia tertangguh sementara ketika PKP sahaja.

“Jika tidak kerana PKP, projek ini boleh siap hampir separuh dan prestasi kontraktor ketika ini ditakrif sebagai berada pada tahap maksimum,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Pendang, hari ini.

Projek pembinaan Hospital Pendang diumumkan pada 2004, namun mengalami kelewatan berikutan kerja pengambilan tanah dan masalah kontraktor yang dihadapi sebelum ini.

Muhammad Sanusi berkata, kerja pengambilan tanah bagi tujuan pembesaran laluan utama ke hospital akan diselesaikan secara berperingkat.

“Ada masalah jalan masuk kerana memerlukan pengambilan tanah dan ia membabitkan kos agak besar.

“Kita akan selesaikan masalah ini serentak bersama kerja pembinaan hospital,” katanya.

Hospital yang dibina di kawasan seluas 17 hektar di Kampung Banggol Pauh, mampu menempatkan 126 katil dan menyelesaikan masalah penduduk yang terpaksa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, bagi mendapat rawatan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mengumumkan pembinaan masjid baharu Daerah Pendang membabitkan kos RM16 juta akan disegerakan.

Katanya, masjid itu akan dibina di pinggir Tasik Pendang dengan reka bentuk moden seakan-akan terapung bagi menjadikannya tarikan baharu pada masa hadapan.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here