Hospital swasta tidak ganggu bekalan vaksin kerajaan

0
66

KUALA LUMPUR: Kebenaran diberikan kerajaan untuk hospital swasta mengadakan rundingan perolehan vaksin COVID-19 dengan syarikat pengeluar, tidak akan menjejaskan bekalan vaksin kepada rakyat.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, memberi jaminan kebenaran itu tidak akan mengganggu bekalan vaksin yang diperuntukkan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk rakyat.

Katanya, hospital swasta akan berurusan dengan syarikat yang berbeza daripada yang membekalkan vaksin kepada kerajaan bagi menjayakan program imunisasi itu.

Ketika ini, kerajaan memperoleh vaksin daripada lima syarikat farmaseutikal iaitu Pfizer, Sinovac, AstraZeneca, CanSinoBIO dan Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology (vaksin Sputnik V), di samping perolehan menerusi fasiliti COVAX.

“Kami bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu kami dalam proses perolehan dengan pembekal vaksin yang berbeza daripada yang sudah dibeli oleh kerajaan.

“Perolehan kami tidak akan mengurangkan kesediaan bekalan vaksin untuk rakyat dalam program vaksin kebangsaan.

“Hasrat hospital swasta adalah untuk membantu petugas barisan hadapan ekonomi daripada syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dengan tenaga kerja yang ramai, warga asing dan individu persendirian untuk mendapatkan vaksin lebih awal daripada fasa yang dirancang kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan akan memberi kebenaran kepada hospital swasta untuk mengadakan rundingan perolehan vaksin dengan syarikat pengeluar.

Namun, Khairy berpandangan penghantaran vaksin untuk swasta mungkin hanya mampu dilaksanakan menjelang suku ketiga dan keempat tahun ini, berdasarkan pengalamannya mengendalikan urusan rundingan, perolehan dan memuktamadkan perjanjian pembelian vaksin daripada pelbagai syarikat farmaseutikal di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Dr Kuljit yang mengalu-alukan pengumuman Khairy, berkata proses perolehan itu perlu disegerakan supaya bekalan vaksin untuk hospital swasta boleh diperoleh seawal pertengahan tahun ini, dan bukan pada suku ketiga atau keempat.

Selain itu, katanya, penangguhan dalam proses perolehan vaksin untuk hospital swasta akan memberi kesan kepada proses pemulihan ekonomi.

Mengakui kekurangan bekalan vaksin COVID-19 di seluruh dunia, Dr Kuljit menekankan perancangan perolehan perlu bermula sekarang bagi memastikan vaksin yang akan dibeli hospital swasta, tersedia seawal mungkin.

“Kami percaya lebih banyak vaksin akan tersedia pada pertengahan tahun ini kerana kelulusan vaksin baharu di seluruh dunia kini sedang berjalan.

“Kami merayu supaya kerajaan mempercepat proses kelulusan ini supaya syarikat pengeluar vaksin boleh menghantar permohonan kepada Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) untuk pendaftaran.

“Adalah tidak mustahil untuk proses vaksinasi swasta dimulakan seawal Jun atau Julai depan, sekiranya proses ini bermula segera,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here