Hujan lebat landa Kuching

0
108

KUCHING : Ketika negeri lain mengalami cuaca panas melampau, beberapa kawasan di Sarawak khususnya di Kuching dilanda hujan lebat, hari ini.

Kawasan Sibu dan Sri Aman pula dilaporkan mendung sejak pagi, namun tiada hujan sehingga jam 4 petang ini.

Hujan bermula di Kuching sejak awal pagi dan semakin lebat tengah hari tadi menyebabkan beberapa jalan raya di Batu Kawa, di sini, dilanda banjir kilat.

Menurut penduduk di Taman Desa Wira, Batu Kawa, air mula naik pada jam 12.30 tengah hari dan membanjiri laluan masuk ke kawasan perumahan itu pada jam 1 tengah hari.

Bagaimanapun, katanya kejadian banjir kilat itu hanya berlaku kira-kira 30 minit.

Seorang pekerja bengkel motosikal di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa pula berkata, hujan lebat disertai ribut itu menyebabkan air memasuki bahagian depan bengkel dan surut semula dalam tempoh beberapa minit.

Beliau berkata, keadaan itu kerap berlaku sejak projek pembangunan pusat komersil dilaksanakan di kawasan berdekatan.

“Sebelum ini, jarang air naik sehingga memasuki bengkel kami walaupun hujan lebat, namun sejak hujung tahun lalu, keadaan sudah berbeza.

“Saya percaya sistem perparitan di kawasan ini tersumbat akibat tanah yang ditambak untuk membina pusat komersil itu,” katanya.

Tinjauan di hulu Sungai Maong yang terletak berdekatan tapak projek berkenaan mendapati, air sungai itu melimpah dan dikhuatiri akan membanjiri kawasan kediaman jika hujan lebat berterusan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here