Ibu nekad bawa 7 anak terjun sungai

0
97

PENAMPANG: Seorang ibu nekad terjun sungai bersama tujuh anaknya demi menyelamatkan diri selepas Kampung Dumpil, Putatan, di sini, terbakar malam tadi.

Sahara Ismail, 35, bersama anaknya yang berusia dua hingga 16 tahun meredah air sungai paras paha sebelum diselamatkan penduduk kampung.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terjaga untuk membuat susu anak bongsu perempuannya.

“Saya kemudian terdengar teriakan lalu membuka pintu dan melihat rumah jiran terbakar.

“Saya mengejutkan semua anak sambil mendukung anak bongsu dan terus terjun ke sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika itu air sungai paras paha dan terpaksa meredah demi keselamatan anak-anaknya.

“Saya dibantu anak sulung dan orang kampung ke kawasan selamat.

“Rumah saya tidak terbakar namun saya panik ketika itu kerana api sudah merebak ke rumah jiran yang terletak bersebelahan dengan rumah saya.

“Anak-anak saya semua selamat namun badan kami semua berlumpur kerana meredah air sungai. Nasib baik ketika itu air surut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran itu pada jam 10.20 malam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi pasukan bomba berada di lokasi dalam usaha memadamkan kebakaran.

“Setakat ini, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia antara 17 hingga 20 rumah yang musnah terbakar.

“Kebakaran berjaya dikawal jam 12.20 tengah malam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, semua mangsa yang terbabit akan dipindahkan di Dewan Program Perumahan Rakyat Serigai, Putatan.

“Setakat ini berdasarkan maklumat bomba dan masyarakat yang terbabit, tidak ada mangsa yang terkorban dalam kebakaran ini.

“Punca kebakaran kita serahkan kepada pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here