Ikuti PdPR di masjid secara percuma

0
43

SLIM RIVER: Masjid Jamek Kampung Kuala Slim mengambil inisiatif menyediakan kemudahan internet percuma kepada anak ahli kariah bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dekat sini.

Pengerusinya, Mohd Suhaimi Md Said, 64, berkata kemudahan itu hanya disediakan kepada pelajar tahun tahun lalu dan tahun ini yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Katanya, setiap hari ahli jawatankuasa masjid akan mengambil telefon pintar pelajar dan memasukkan kata laluan WiFi kepada pelajar terbabit supaya mereka dapat mengikuti PdPR dengan lebih baik di situ.

“Inisiatif ini diambil bagi memastikan semua anak ahli kariah terutama yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan B40 tidak keciciran dalam pelajaran.

“Bukan semua ahli khariah di sini mampu untuk menyediakan kemudahan internet kepada anak mereka dan dengan adanya usaha ini diharapkan mampu mengurangkan beban mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui.

Mohd Suhaimi berkata setiap pelajar yang datang ke masjid untuk mengikuti PdPR perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata kehadiran pelajar dan suhu badan diambil serta direkodkan oleh pihak masjid serta hanya 10 pelajar dibenarkan dalam satu masa bagi mengikuti PdPR di bilik yang disediakan itu.

“Walaupun usaha ini nampak kecil sumbangannya kepada ahli kariah, ia dapat memberi kesan jangka panjang terutama menggalakkan generasi muda mendekati dan mengimarahkan masjid.

“Pelajaran amat penting untuk masa depan kerana hanya dengan pendidikan yang sempurna mampu meningkatkan taraf hidup serta sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim, Mohd Alif Mohd Amin, 17, berkata dengan adanya kemudahan internet di masjid ibu bapa beliau tidak perlu lagi membelanjakan wang untuk mendapatkan kemudahan internet.

Katanya, beliau bersama rakan sekolah hanya datang ke masjid untuk mengikuti PdPR sahaja dan apabila selesai mereka terus pulang ke rumah.

“Saya berterima kasih kepada pihak masjid yang menyediakan kemudahan internet untuk kami mengikuti PdPR dengan selesa supaya kami tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Syukur kerana setakat ini semua kerja sekolah yang diberikan oleh guru melalui PdPR dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Mohd Alif berkata belajar di masjid mempunyai aura yang sungguh berlainan jika hendak dibandingkan di rumah kerana suasana persekitaran di masjid lebih tenang dan membangkitkan semangat untuk belajar dengan tekun.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here