Isteri rakyat Malaysia kena sekatan ISA di Singapura

0
261

KUALA LUMPUR: Seorang guru agama sambilan warga Singapura dikenakan arahan sekatan selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terpengaruh dengan ideologi radikal dibawa suaminya yang juga rakyat negara ini.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) Singapura dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, Ruqayyah Ramli, 34, mula terpengaruh dengan ideologi suaminya, Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 33, selepas mereka berkahwin pada Disember 2018.

Mohd Firdaus, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura, ditahan pada Julai tahun lalu mengikut undang-undang sama kerana cenderung menyertai perjuangan pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Syria.

Menurut kenyataan itu, sehingga kini, belum ada bukti menunjukkan pasangan itu cuba menyebar ideologi radikalnya kepada orang lain, malah pentauliahan mengajar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah yang diperoleh Ruqayyah pada September 2017 sudah digantung.

“Siasatan ISD juga tidak menunjukkan sebarang bukti Firdaus mengatur sebarang rancangan untuk melakukan aktiviti keganasan di Singapura.

“ISD bekerjasama rapat dengan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan. Pas Kerjanya dibatalkan dan dia dihantar balik ke Malaysia dan diserahkan kepada PDRM pada Ogos tahun lalu, selepas siasatan ISD lengkap,” katanya.

ISD menjelaskan, Firdaus mula terpengaruh dengan ideologi radikal itu pada 2016 ketika beliau banyak mendalami pengetahuan mengenainya propaganda ISIS menerusi dalam talian.

“Dia juga menganggap khalifah yang diisytiharkan sendiri oleh ISIS, Abu Bakar al-Baghdadi sebagai pemerintah Islam yang sebenar. Walaupun dengan kekalahan khalifah ISIS di Syria dan Iraq, Firdaus tetap menjadi penyokong kuat ISIS.

“Dia secara aktif menyiarkan bahan mempromosikan ISIS dan jihad bersenjata di akaun media sosialnya. Bahkan membuat bendera ISIS pada Mac 2020, yang digantungnya di rumah untuk menunjukkan kesetiaannya terhadap kumpulan itu,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, pasangan itu juga sanggup mengunjungi zon konflik bersama dua anaknya supaya dapat terus menjaga keluarga dan membantu pejuang ISIS yang cedera.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here