Isu Korea Utara: Polis tingkat kawalan keselamatan

0
170

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan panas terutama di Kedutaan Korea Utara di Jalan Binjai di sini, susulan tindakan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pengarah di Bukit Aman dan Ketua Polis Negeri sudah diarahkan untuk mengambil pendekatan secara berhati-hati bagi menghadapi pelbagai kemungkinan hasil tindak balas Korea Utara.

“Apa yang berlaku bukannya kerana Malaysia memusuhi mereka, sebaliknya negara itu sendiri yang memutuskan hubungan diplomatik dengan kita.

“Saya mengarahkan pengarah Bukti Aman dan Ketua Polis Negeri untuk meningkatkan kesediaan dan memantau jika berlaku perkara tidak baik.

“Kita akan memantau perkembangan kemelut yang berlaku ini sehingga keadaan benar-benar reda,” katanya pada sidang media, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Kelmarin, kesemua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara pulang ke negara mereka susulan keputusan Pyongyang pada Jumaat, untuk menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Pyongyang mengumumkan pihaknya menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, selepas mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada hari sama, Wisma Putra berkata, ia kesal dengan keputusan Korea Utara itu dan sebagai tindak balas, Malaysia akan menutup kedutaan negara berkenaan di sini yang operasinya sudah digantung sejak 2017.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973 dan hubungan itu mulai ‘keruh’ apabila Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia pada 2017.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here