Isu vaksin, polis siasat individu dakwa berlaku ‘potong barisan’

0
160

KUALA LUMPUR: Tindakan polis merakam keterangan seorang individu yang mendakwa berlaku penyelewengan berkaitan pemberian vaksin yang disifatkan sebagai dua darjat dan memotong barisan, perlu dilakukan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, menolak tanggapan kononnya tindakan merakam keterangan itu bagi menakut-nakutkan individu terbabit seperti dibayangkan pengkritik.

Katanya, beliau memandang serius tuduhan mengatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak profesional ketika menjalankan siasatan mengenai dakwaan itu.

“Tindakan merakam keterangan seseorang individu yang membuat dakwaan berlakunya cubaan ‘potong barisan’ itu dibuat selaras prosedur operasi standard (SOP) bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kertas siasatan itu dibuka susulan satu laporan polis dibuat seorang pegawai kerajaan di Kelantan,” katanya kepada BH, hari ini.

Abdul Hamid berkata, kenyataan individu terbabit amat penting bagi mendapatkan butiran lanjut untuk menentukan sama ada perkara itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.

“Tindakan ini (merakam keterangan) tidak sekali-kali berniat untuk menakut-nakutkan individu terbabit seperti dibayangkan pengkritik.

“Dakwaan dalam ciapan (ciapan di Twitter) itu amat serius kerana ia membabitkan nama baik institusi kerajaan negeri,” katanya.

Baru-baru ini, pakar perunding nefrologi, Dr Rafidah Abdullah menerusi ciapan di Twitter @rafidah72 memaparkan tangkap layar mesej diterima beliau daripada individu tidak ingin dikenali berhubung perkara itu.

Mesej itu mendakwa suntikan vaksin COVID-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi ‘laluan’ kepada 200 Ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan.

Perkara itu dinafikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin yang menyifatkan ia tidak benar dan berniat jahat.

Beliau berkata, Kerajaan Kelantan tidak pernah masuk campur dalam sebarang proses menentukan senarai penerima vaksin COVID-19 di negeri itu, sebaliknya ia dilakukan sendiri Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here