‘Jangan kedekut keluar kos demi keselamatan’

0
98

KUALA LUMPUR: Pihak kontraktor dan syarikat pengurusan jangan ‘kedekut’ mengeluarkan kos menyediakan atau menaik taraf ciri-ciri keselamatan di tapak projek lebuh raya.

Pada masa sama, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) perlu dilakukan secara kerap dan bertanggungjawab dengan memastikan kakitangan berkaitan sentiasa berada di lapangan bagi tujuan itu.

Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Law Teik Hua, berkata projek pembinaan jalan raya atau lebuh raya berbeza dengan bangunan kerana ia dijalankan berhampiran kawasan orang awam, sekali gus menuntut pelaksanaan SOP lebih ketat.

Mengambil kira kekerapan kemalangan yang kerap berlaku di tapak pembinaan lebuh raya seperti di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sehingga mengancam nyawa, beliau berkata, langkah drastik wajar diambil dengan meneliti semula SOP.

“Insiden di SUKE berlaku enam kali dalam tempoh kira-kira dua tahun dan itu dianggap kerap.

“Ia bukan kemalangan, sebaliknya faktor kecuaian manusia. Kes sedemikian dianggap hibrid kerana ia bukan sahaja mengakibatkan kemalangan jalan raya tetapi juga keselamatan pembinaan.

“Apabila insiden asyik berulang, ia bermakna SOP bermasalah. Jika SOP tiada masalah, mungkin ada masalah dari segi pemantauannya.

“Pertama, teliti semula SOP kerana pembinaan jalan raya dengan pembinaan bangunan berbeza atas faktor jarak dengan orang awam.

“Kedua, untuk jaminan keselamatan orang awam, fikirkan untuk melabur wang demi keselamatan seperti memasang beberapa lapisan jaring yang cukup kuat untuk menahan objek di atas daripada jatuh menimpa

“Ada syarikat menggunakan alasan kosnya mahal,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas kemalangan maut di tapak pembinaan SUKE dekat Persiaran Alam Damai di ibu negara yang mengorbankan tiga lelaki warga China, semalam.

Kejadian turut menyebabkan seorang pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan cedera, berpunca daripada komponen kren gantri yang terjatuh.

Teik Hua berkata, antara langkah boleh diambil bagi mengelak insiden berulang ialah mewujudkan laluan kontra atau membuat lencongan laluan dengan mengambil kira keadaan semasa terutama pada waktu puncak.

Beliau mengesyorkan lencongan laluan kekal dibuat dengan meneliti persekitaran tapak binaan berkenaan.

Katanya, pemaju cuai wajar dikenakan tindakan undang-undang dengan mengenakan hukuman lebih berat.

“Isu pelaksanaan ciri-ciri keselamatan tidak sewajarnya tunggu ada kes kematian.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here