Jangan salah guna surat kebenaran rentas daerah, negeri

0
240

IPOH: Polis akan memperketatkan kebenaran merentas daerah dan negeri bagi memastikan individu tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan surat kebenaran majikan untuk pergi bercuti, ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali, berkata pihaknya akan memastikan tapisan dan pemeriksaan terhadap surat kebenaran dibuat secara lebih teliti di peringkat balai sebelum permohonan diluluskan.

“Kita mengingatkan kepada semua terutama sekali kaum Tionghua yang akan merayakan Tahun Baharu Cina yang berkemungkinan mengambil kesempatan ini (menyalahgunakan surat) untuk menikmati cuti panjang dan sebagainya.

“Kita akan menentukan rentas sempadan itu sama ada dari segi negeri ataupun 10 kilometer itu dibuat pemeriksaan teliti di peringkat balai lagi, jadi mereka tidak akan terlepas di sekatan jalan raya (SJR),” katanya pada pemberita ketika membuat lawatan sempena program Jeneral Turun Padang di SJR Jalan Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Kasuahdi berkata, selain SJR pihaknya turut mengadakan Op Limau dan juga menggerakkan pasukan tambahan khas untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Kita memahami untuk program makan besar hanya 15 orang satu keluarga, kita memang banyak menerima permohonan untuk rentas, tetapi banyak yang kita tolak kerana alasan sebenarnya untuk berjumpa keluarga.

“Jadi, kita tidak membenarkan kerana apa yang paling penting kita kena sahut seruan kerajaan dan kita buat ini semua untuk memastikan keselamatan keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here