JAS, Jabatan Perikanan perlu dedah hasil ujian air Sungai Perai

0
131

BUTTERWORTH: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan mendedahkan segera hasil ujian sampel air di Sungai Perai hingga menyebabkan ribuan ikan mati, kelmarin.

Ini berikutan, kejadian berkenaan amat serius dan menimbulkan kebimbangan orang ramai yang menjadi mangsa pencemaran sungai.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader, berkata pihaknya kesal dengan kejadian yang berlaku dan meminta JAS menyiasat serta mengenal pasti punca sebenar masalah itu bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas mereka terbabit.

“CAP percaya jika masalah ini berlarutan, ia bukan saja menyebabkan ikan di Sungai Perai pupus dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan, malah ia juga akan merebak ke laut berhampiran serta mengancam pembiakan kerang di kawasan itu.

“Kita tidak mahu nasib Sungai Perai menjadi seperti Sungai Juru yang mana ikan, udang dan kerang mati kerana diancam pencemaran sisa toksik dari kawasan perindustrian berhampiran.

“Justeru, adalah perlu bagi pihak berkuasa terbabit memberi perhatian serius terhadap masalah ini dan menjadikan Sungai Perai lokasi tumpuan kerana ia terdedah dan mudah tercemar oleh berbagai bahan buangan berbahaya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, ribuan ikan di Sungai Perai dilaporkan mati selepas air pasang dan kejadian itu disedari penduduk Taman Kimsar berhampiran sebelum memaklumkan kepada Ahli Majlis MBSP, David Marshel.

Mohideen berkata, CAP juga meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakukan pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan kilang industri di sepanjang sungai itu mematuhi undang-undang sedia ada.

“CAP turut menyokong cadangan Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar supaya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipinda bukan saja meningkatkan jumlah penalti maksimum dari RM500,000 kepada RM10 juta, tetapi juga memberi lebih kuasa kepada agensi itu bertindak di luar waktu pejabat.

“Ia berikutan CAP sebelum ini banyak menerima rungutan orang ramai bahawa terdapat kilang industri membuang sisa selepas waktu pejabat bagi mengelak dikesan dan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here