Jawatankuasa teliti gejala sosial dalam kalangan mahasiswa

0
102

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tindakan Khas Menangani Masalah Sosial Mahasiswa ditubuhkan bagi meneliti dan menangani masalah sosial dalam kalangan mahasiswa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini, berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman.

Selain itu katanya, ia turut dianggotai beberapa kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk wakil pelajar daripada institusi pengajian tinggi (IPT).

Difahamkan, antara tujuan penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi mengatasi isu berkaitan pembabitan mahasiswa dalam aplikasi yang mempromosi gaya hidup tidak bermoral, Sugarbook.

“Wakil daripada kementerian dilantik bagi menganggotai jawatankuasa ini terdiri dari Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary.

“Jawatankuasa ini turut disertai wakil pelajar, iaitu Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri; Yang Dipertua Universiti Kuala Lumpur, Ali Hanifah Amran dan Naib Presiden III, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman,” katanya.

Kenyataan itu berkata, KPT amat prihatin terhadap pembentukan dan pemerkasaan sahsiah mahasiswa ke arah melahirkan individu bertanggungjawab serta prihatin terhadap ketidakseimbangan dalam pembangunan komuniti sejagat.

“KPT berharap agar penubuhan jawatankuasa dan jalinan kerjasama antara agensi ini dapat meningkatkan perkembangan sahsiah serta menangani permasalahan sosial mahasiswa secara holistik,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here