Jiran tidak suka dengar kanak-kanak menyanyi

0
42

PETRA JAYA: Aduan jiran yang tidak suka mendengar kanak-kanak menyanyi menjadi antara punca beberapa Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) di Sarawak terpaksa berpindah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata sembilan aduan diterima dalam tempoh 1 Januari tahun lalu hingga 31 Mei tahun ini, daripada jiran yang tidak mahu TASKA beroperasi berhampiran kediaman mereka.

Dalam tempoh sama, katanya, tiga aduan sama diterima daripada jiran terhadap operasi TADIKA.

“Masalah itu timbul di kawasan perumahan apabila jiran tidak suka mendengar suara kanak-kanak termasuk apabila murid menyanyi, malah ada yang mendakwa tertekan mendengar kanak-kanak menangis.

“Susulan aduan itu, ada TASKA terpaksa berpindah empat kali,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat prosedur operasi standard (SOP) pendaftaran TASKA di Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, dua TASKA terpaksa dipindahkan kerana beroperasi di jalan mati manakala enam tidak diluluskan permohonan dibuka kerana lokasinya di persimpangan jalan sibuk.

Bagi TADIKA, katanya, satu permohonan ditolak kerana lokasi yang dicadangkan turut berada di persimpangan jalan.

“Kami sering memaklumkan kepada pengendali TASKA dan TADIKA supaya meneliti lokasi dicadangkan dengan terperinci bagi mengelak timbul masalah kemudian,” katanya.

Sehingga 9 Jun lalu, Fatimah berkata, sebanyak 119 TASKA swasta berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) manakala TADIKA swasta pula sebanyak 484.

“Sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 28 TASKA dan lima TADIKA swasta masih dalam proses kelulusan oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei,” katanya.

Sumber-Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here