Johor benarkan 40 jemaah untuk solat fardu, Jumaat

0
218

JOHOR BAHRU: Johor membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dijalankan dengan kehadiran 40 jemaah ahli kariah yang digilirkan di masjid serta surau di negeri ini, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata jumlah itu tidak termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid serta surau dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, bagi memastikan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat, diperkenankan kebenaran sementara menunaikannya di 216 surau di seluruh Johor.

“Perhimpunan bertujuan aktiviti agama yang dibenarkan membabitkan tazkir dan tarhim oleh pegawai masjid dan surau; program membudayakan al-Quran dan as-Sunnah; program bacaan surah Yassin dan tahlil serta surah al-Mulk dan al-Kahfi.

“Solat jenazah dibenarkan dengan kehadiran 40 jemaah tidak termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid serta surau.

“Semua masjid dan surau perlu melaksanakan solat sunat hajat berjemaah setiap hari selepas solat Maghrib dan selepas solat Jumaat, namun aktiviti kuliah serta ceramah secara dalam talian digalakkan, selain memastikan penceramah jemputan mempunyai tauliah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, majlis akad nikah digalak untuk ditangguhkan atau boleh dilaksanakan di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) atau pejabat kadi daerah saja.

Katanya, kehadiran bagi satu majlis akad nikah tidak melebihi enam orang iaitu pengantin lelaki dan perempuan, wali, dua saksi daripada anggota jabatan serta MAINJ saja, selain jurunikah sama ada kadi atau imam daerah atau penolong pendaftar nikah, cerai dan rujuk.

“Majlis resepsi atau kenduri untuk majlis akad nikah perlu ditangguhkan.

“Kursus praperkahwinan Islam Johor boleh dilaksanakan melalui kaedah sidang video saja, permohonan kebenaran nikah dibenarkan, selain pendaftaran cerai boleh dilaksanakan jika mendapat perintah pengesahan cerai daripada Mahkamah Syariah.

“Lain-lain urusan membabitkan pendaftaran rujuk boleh dilaksanakan, selain permohonan pendaftaran pengesahan pernikahan (4P) dan poligami (5P) serta permohonan kad perakuan nikah dengan terhad kepada seorang pemohon,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here