JPNP rampas balak RM700,000

0
127

KUANTAN: Sebanyak 1,500 batang kayu balak bernilai RM700,000 dirampas oleh Unit penguatkuasaan Zon Pahang Timur, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Komparment 374 Hutan Simpan Berkelah dan Tanah Kerajaan, di sini kelmarin.

Balak daripada jenis meranti, cengal, keruing dan merbau itu ditemui dalam 45 longgokan yang ditempatkan sementara di matau atau kawasan simpanan kayu sebelum dipindahkan.

Pengarah JPNP Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini membabitkan balak berkualiti tinggi dalam hutan simpan.

“Balak yang dilonggokkan itu dipercayai akan dipindahkan oleh pekerja mahir serta terancang yang mengambil masa kurang seminggu.

“Mereka juga dikesan menutup bukti penebangan dengan menimbus tunggul pokok yang ditebang selain turut mencabutnya.

“Bagi mengelak anggota penguat kuasa masuk ke kawasan yang dicerobohi, sindiket turut bertindak menutup laluan dengan membina batas selain menumbangkan pokok ke atasnya,” katanya, di sini semalam.

Mohd Hizamri berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan ketika serbuan dibuat tetapi kesan penebangan masih baharu.

Selain itu katanya, sindiket dikesan menebang pokok yang berkualiti tinggi dan ia ada kaitan dengan kenaikan harga kayu di pasaran ketika ini.

“Selain merampas 1,500 tual balak kita juga turut menyita tujuh jentera membabitkan masing-masing dua jengkaut dan lori memindahkan balak dan tiga jentolak,” katanya.

Beliau yang meluangkan masa lebih tiga jam melawat kawasan ceroboh berkenaan berkata, sindiket terbabit menceroboh Hutan Simpan Berkelah seluas 20.23 hektar dan melakukan aktiviti menebang pokok secara terpilih.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan pasukan forensik Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dipanggil bagi membantu dan menguatkan bukti kes sebelum pihak yang bersalah dihadapkan ke mahkamah.

“Mereka yang didapati bersalah menceroboh hutan simpan dan memindahkan hasil hutan tanpa permit boleh didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Menurutnya, sindiket terbabit kini menggunakan pelbagai helah untuk melakukan kesalahan antaranya akan aktif pada hujung minggu dan cuti umum serta waktu malam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Sumber:Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here