Jual penapis air kemudian kebas RM77,000

0
297

IPOH: Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini hiba buat seorang wanita warga emas yang juga pesara kerajaan apabila wang simpanan lebih RM77,000 miliknya lesap selepas diperdaya seorang lelaki yang mendakwa sebagai ejen jualan dan selenggaraan mesin penapis air.

Naib Pengerusi MCA Ipoh Timur, Kathleen Wong Mei Yin, berkata mangsa, Ng Kam Moi, 80, didatangi suspek pada 3 Februari lalu yang ingin menjual mesin penapis air bernilai RM7,000 sewaktu mangsa berseorangan di kediamannya di Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya membeli mesin berkenaan pada hari yang sama sebelum suspek selepas itu berulang kali mengunjungi rumah warga emas terbabit hampir setiap hari kononnya ingin menyelenggara kembali mesin itu.

Katanya, bagaimanapun pada 9 Februari lalu suspek memasuki bilik tidur mangsa dan ternampak sijil simpanan tetap milik mangsa bernilai lebih RM76,000, menyebabkan suspek kemudiannya menawarkan mangsa untuk bantu menggantikan perabot serta membeli ubatan.

Wong berkata, mangsa yang kemudiannya dibawa suspek menaiki kereta turut mendakwa pernah diminta suspek untuk menjadikannya sebagai ibu angkat berikutan mangsa turut mempunyai masalah penglihatan kronik selain buta sebelah mata.

“Suspek juga mencadangkan mangsa menukar akaun simpanan tetap ke bank lain atas alasan pulangan faedah lebih tinggi dan ia dipersetujui mangsa. Mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank di Bercham bagi mengeluarkan simpanan tetap itu dan sebahagian kecil simpanan biasa untuk dipindahkan ke akaun bank baharu.

“Suspek juga menolak permintaan mangsa supaya transaksi itu dibuat melalui cek atas alasan caj perkhidmatan tinggi. Mangsa bersama wang tunai yang dikeluarkan itu kemudiannya dibawa oleh suspek kononnya ke bank yang dicadangkan suspek.

“Ketika itu mangsa diminta duduk di dalam kereta sementara suspek memperkenalkan seorang lagi lelaki yang didakwa sebagai kawan rapat suspek dan kononnya pengurus bank berkenaan untuk meminta pengesahan serta tandatangan mangsa,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri warga emas itu di pejabatnya, hari ini.

Katanya lagi, mangsa hanya sedar ditipu pada malam hari yang sama ketika dia bersama ahli keluarga yang lain mendapati sampul plastik diberikan suspek sewaktu pulang dari bank yang sepatutnya mengandungi sijil simpanan tetap bank baharu hanyalah sampul kosong.

Beliau berkata, susulan itu satu laporan polis dibuat warga emas itu di Balai Polis Sungai Senam, di sini kira-kira 9.53 malam pada keesokannya iaitu 10 Februari lalu.

Sementara itu, Kam Moi berkata, suspek sering berkunjung ke rumahnya sewaktu anak dan menantunya yang turut tinggal bersama keluar bekerja manakala cucunya yang masih kecil lebih gemar berada dalam bilik mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Beliau berkata, suspek juga adalah individu yang diperkenalkan oleh ejen penyelenggaraan mesin penapis air yang pernah dibelinya sebelum dari itu lagi.

“Hati saya sangat sakit memandangkan itu sahajalah wang simpanan yang saya ada, selain memerlukan saya menabung selama 10 tahun bagi mencapai jumlah itu.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here