Kaji program sesuai pasaran semasa

0
19

ISU graduan menganggur menjadi fokus utama kerajaan dan sering dijadikan topik perbincangan dalam kalangan ahli politik, pembuat polisi, ahli akademik, pihak industri, ibu bapa serta pihak berkepentingan.

Setiap tahun universiti awam (UA) dan swasta melahirkan puluhan ribu graduan menerusi konvokesyen diadakan dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu.

Persoalannya, apakah jumlah pekerjaan yang wujud selari dengan graduan terhasil saban tahun. Jawapan mudah sudah pasti tidak kerana kewujudan jumlah peluang pekerjaan bergantung kepada banyak faktor, terutama ekonomi.

Pandemik COVID-19, bukti jelas ekonomi terjejas teruk dalam semua sektor dan peluang pekerjaan semakin kritikal, malah yang sedang bekerja pun diberhentikan.

Dalam mendepani cabaran seperti ini, institusi pengajian perlu melihat kembali program akademik ditawarkan, terutama dalam konteks keupayaan melahirkan graduan mempunyai ilmu, kemahiran, personaliti unggul dan keupayaan berdikari yang mampu mencipta pekerjaan.

Persepsi umum berkaitan masuk universiti untuk mendapat pekerjaan tertentu, terutama ibu bapa perlu berubah kepada masuk universiti untuk menimba ilmu, memperkasakan kemahiran dan membentuk karakter. yang membolehkan mereka menjana peluang pekerjaan dan membina kesejahteraan dalam kehidupan.

Penawaran program baharu sama ada oleh UA atau swasta bakal menyumbang lambakan graduan sekiranya mereka yang dilahirkan mempunyai mentaliti mencari kerja atau lebih dikenali sebagai job seeker dan bukan job creater.

Job creater ialah apa yang terhasil daripada proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang dilalui graduan menerusi program akademik.

Sebagai contoh, program Sarjana Muda Teknologi yang ditawarkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi inisiatif bersama Malaysia Technical University Network (MTUN) antara penyelesaian kepada kebergantungan graduan dalam konteks mencari kerja.

Pelaksanaan program di universiti perlu menekankan dua pendekatan utama, iaitu pembelajaran dalam konteks sebenar atau pembelajaran berasaskan kerja dan proses penerapan elemen keusahawan secara hands-on.

Menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan kerja, pelajar didedahkan dalam realiti sebenar dan pembelajaran lebih menjurus kepada penyelesaian masalah, sekali gus merapatkan jurang antara institusi pengajian dengan kehendak industri.

Begitu juga pelaksanaan proses penerapan elemen keusahawanan secara amali dilihat di kebanyakan universiti masih bersifat tersendiri dan tidak diintegrasikan, malah lebih penting bagaimana mewujudkan universiti itu sendiri sebagai antara ekosistem keusahawanan.

Ilmu dan pendedahan elemen keusahawanan perlu diterjemahkan secara amali seperti perancangan, pendaftaran serta sistem perniagaan dalam situasi sebenar. Model program Btech ini menerapkan tiga komponen utama pengetahuan dan teknikal serta komponen keusahawanan yang mampu melahirkan graduan holistik. Penekanan dalam pelaksanaan melahirkan usahawan seharusnya merentasi semua program akademik.

Struktur kurikulum program Btech yang dibentuk jelas menunjukkan ia program berbentuk praktikal apabila graduan melalui program ini akan mendaftar perniagaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta mendaftar paten produk melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Prof Madya Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)

Sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here