Kaki putus terjerut tali pukat

0
26

KOTA TINGGI: Seorang nelayan tempatan putus kaki kanan apabila terbelit dan terjerat tali pukat ketika melabuhkan pukat di Tanjung Sedili Besar, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, nelayan itu terpaksa menahan sakit beberapa jam sebelum diselamatkan selepas pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima maklumat 10.30 malam tadi.

Katanya, sebaik menerima maklumat kejadian, sebuah bot peronda dari Zon Maritim Tanjung Sedili yang dalam Op Benteng Laut 1/2020 dipesongkan ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan danĀ Consualty EvacuationĀ (CASEVAC).

“Bot peronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian pada kedudukan 7.5 batu nautika tenggara Tanjung Sedili Besar mendapati mangsa dalam keadaan lemah sedang mengerang kesakitan akibat kehilangan banyak darah.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika bot nelayan itu melabuhkan pukat, salah satu tali pukat membelit kaki mangsa dan menariknya ke laut.

“Disebabkan ombak beralun besar menggoleng bot, kaki kanan mangsa daripada paras lutut terputus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, mangsa seorang lelaki Melayu berusia 40 tahun tiba di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada 11.50 malam dan diberi bantuan awal dan distabilkan oleh petugas Klinik Kesihatan Tanjung Sedili.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi dengan ambulans bagi rawatan lanjut.

“Selain tugas penguatkuasaan, Maritim Malaysia sentiasa bersiap sedia dalam memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat atau komuniti maritim.

“Justeru, orang ramai terutama komuniti maritim yang berdepan situasi kecemasan di perairan Johor Timur supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili (07-8916595) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.

“Mengambil contoh kejadian malam tadi, Komuniti Maritim juga diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan berhati-hati semasa berkerja di laut,” katanya.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here