Kakitangan JAINJ didakwa terima rasuah RM26,800

0
428

JOHOR BAHRU: Seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM26,800 pada 2019.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29, Nurul Hazlin Hashim, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam di JAINJ didakwa menerima tiga kali suapan bernilai RM12,800, RM7,000 dan RM7,000 dalam akaun peribadinya.

Ia sebagai dorongan bagi mencadangkan sebuah syarikat pembekalan sama, mendapatkan kerja untuk Seminar Aqidah Sunnah Wal Jamaah Saudara Kita, Program Santuni Orang Asli Siri 2/2019 serta Program Santuni Orang Asli Siri 3/2019 masing-masing pada 27 dan 29 Oktober serta 4 November 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Mahirah memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh diminta melapor diri di Pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah atas alasan berdepan masalah kewangan.

“Saya masih bertugas sebagai penjawat awam dengan gaji RM1,500.

“Saya menghadapi masalah kewangan yang teruk dan hanya mampu membayar jaminan di bawah RM10,000,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menasihati tertuduh supaya mendapatkan peguam bagi membantunya menghadapi perbicaraan walaupun tertuduh memaklumkan dia tidak mampu menggunakan khidmat peguam.

“Kamu diminta melantik peguam. Bagaimana kamu mahu menghadapi perbicaraan ini kerana pertuduhan ke atas kamu amat serius dan berat,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here