Kawalan sempadan diperketat kesan Nicky Liow, Sajat

0
186

KUBANG PASU: Polis Kedah akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand bagi memperketat kawalan dalam usaha mengesan ahli perniagaan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan usahawan kosmetik, Muhammad Sajat Kamaruzzaman.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan lain akan bergabung untuk saling membantu.

Bagaimanapun Hasanuddin enggan mengulas sama ada dua individu terbabit berada di Thailand.

“Gambar sudah diedarkan oleh pihak media malah turut dilakukan oleh pihak berkuasa di sempadan negara ini untuk mengesan mereka ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kubang Pasu antara Asisten Komisioner Mohd Ismail Ibrahim dan Superintendan Rodzi Abu Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, hari ini.

Mohd Ismail menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu sejak 2017 dan akan ditukar ke Kontinjen Johor, manakala Rodzi pula sebelum ini menggalas tugas sebagai Komander AKSEM Perlis.

Hasanuddin menegaskan pihaknya tidak pernah ‘tidur’ dalam mengawal sempadan negara.

“Walaupun daerah ini nampak tenang namun disebabkan ia terletak berhampiran Thailand, pelbagai aktiviti dilakukan di sempadan sama ada sah atau tidak.

“Ada barangan atau manusia dibawa masuk secara tidak sah melalui lorong tikus di kawasan sempadan sekali gus memerlukan pihak berkuasa sentiasa menitik beratkan pergerakan di sempadan,” katanya.

Hasanuddin berkata, antara barangan yang diseludup keluar masuk dan menyalahi undang-undang adalah dadah, senjata api, bayi dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here