‘Keberanian luar biasa’ PM dahului penerima vaksin COVID-19

0
102

KUALA LUMPUR: Langkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi rakyat Malaysia pertama menerima vaksin COVID-19 esok, disifatkan sebagai ‘keberanian luar biasa’ dalam usaha memulihkan kesejahteraan kesihatan awam, kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris, berkata misi vaksinasi terbesar dalam sejarah negara itu bakal memastikan negara Malaysia kekal selamat, terjamin, sejahtera dan stabil.

Sehubungan itu, beliau berharap jaminan keselamatan kesihatan rakyat yang bakal menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang membabitkan kos hampir RM800 juta, tidak diabaikan, sejajar komitmen Muhyiddin serta anggota Kabinet dan kementerian bertanggungjawab dalam usaha berkenaan.

“Rakyat perlu terus diberikan maklumat benar, tepat dan pantas dalam soal pemberian dos vaksin COVID-19 yang diperoleh Malaysia seperti Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBio dan Sputnik V.

“Pasukan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hendaklah berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk memastikan impak maklumat separa benar dan palsu, ditangkis serta dihindari seminimum boleh ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Razali berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berpandangan, program imunisasi COVID-19 itu perlu mempunyai kaedah pemudah cara yang cekap dan berkesan demi kesejaheraan rakyat secara keseluruhannya.

Untuk jangka panjang, katanya, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengesyorkan kerajaan mewujudkan Peta Pembangunan Vaksin Negara.

“Peta itu bagi menghasilkan vaksin buatan tempatan yang mematuhi panduan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), International Council For Harmonization of Technical Requirements for Pharmaceuticals for Human Use (ICH), selain garis panduan kesihatan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Majlis Sains Negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here