Kedah benarkan pelaksanaan ibadah korban dengan pematuhan SOP

0
85

ALOR SETAR: Kedah membenarkan pelaksanaan ibadah korban, tahun ini, dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad, berkata ia termasuk jumlah kehadiran peserta pada satu-satu masa tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan tempat.

“Ia bagi mengelakkan elemen sesak, sempit dan bersembang secara dekat. Jika proses menyembelih haiwan korban dilakukan di kawasan perumahan, jumlah pengendali atau mereka yang melapah daging perlu diminimumkan.

“Sebagai contoh, ia mungkin boleh dilaksanakan dengan jumlah minimum lapan orang asalkan menjaga penjarakan sosial,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, pengagihan daging korban kepada peserta dan fakir miskin juga boleh dilakukan bersama penjarakan sosial.

Namun setakat ini, beliau menjelaskan, sebarang bentuk majlis jamuan dan kenduri adalah tidak dibenarkan.

“Berhubung soal majlis jamuan di rumah individu yang melakukan ibadah korban pula, kita akan bincangkan semula nanti. Buat masa ini, ia masih tidak dibenarkan.

“Semua tertakluk kepada SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK),” katanya.

Sumber-Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here