Kedai gunting rambut diarah tutup, pekerja tidak buat saringan COVID-19

0
342

MELAKA: Sebuah kedai gunting rambut dekat Taman Permatang Duyong di sini, diarahkan tutup serta-merta malam tadi, selepas pemiliknya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Notis arahan tutup itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, selepas mendapati pemiliknya gagal melakukan saringan COVID-19 terhadap empat pekerja yang juga warga India.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman, berkata notis penutupan tujuh hari itu turut membabitkan kegagalan pemilik mengemukakan dokumen saringan COVID-19 yang sepatutnya dibuat terhadap setiap warga asing sebelum memulakan operasi seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah juga mengalami kesukaran memandangkan warga India terbabit yang berusia antara 30an hingga 40an itu, termasuk seorang pengurusnya tidak fasih berbahasa Melayu, manakala pemilik premis itu berada di Johor Bahru.

“Kami kesal dengan sikap culas dan ambil ringan segelintir majikan yang tidak mematuhi SOP selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran perkhidmatan menggunting serta mendandan rambut, selain salun kecantikan dibenarkan beroperasi semula sejak 10 Jun lalu.

“Malah, pemilik premis ketika dihubungi mengaku bahawa semua empat pekerjanya itu belum membuat sebarang ujian saringan COVID-19.

“Justeru, tindakan kita menutup sementara premis itu adalah sebagai memberi tempoh kepada majikan membuat ujian berkenaan ke atas semua warga asing terbabit dan mereka perlu membawa dokumen ujian itu serta keputusan kepada Jabatan Kesihatan Negeri sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengetuai Operasi Khas Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sekitar Duyong, di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ismail Ali.

Dalam operasi terbabit, beberapa kedai makan dan stesen minyak diperiksa bagi memastikan SOP dipatuhi dengan membabitkan seramai 14 anggota penguat kuasa kesihatan yang membuat pemantauan.

Rahmad berkata, notis penutupan itu termaktub di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan peruntukkan Subseksyen 11(2) akta yang sama dengan mewartakan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan Tempatan jangkitan).

“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri akan memperkasakan lagi memantau ke semua premis gunting rambut serta salun kecantikan di negeri ini bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here