Kejar kereta lari pemeriksaan, anggota polis cedera

0
138

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis cedera selepas kereta peronda dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan ketika mengejar sebuah lagi kenderaan yang lari daripada pemeriksaan malam tadi.

Lans Koperal Muhamad Sha’ad Muhamad Sha’id, 28, cedera di tangan kiri.

Seorang lagi anggota polis, Lans Koperal Muhammad Ramadhan Ghazali, 27, yang turut berada dalam kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua anggota polis itu bertugas di Cawangan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Kemalangan itu juga menyebabkan wanita yang memandu kereta Perodua Myvi yang terbabit dengan kemalangan itu cedera di perut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya , berkata kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Haji Ahmad Shah – Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, jam 10.20 malam.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan kereta peronda polis jenis Honda Civic dan Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 26 tahun.

“Kemalangan berlaku ketika kereta peronda polis mengejar sebuah kereta Volkswagen Golf GTi dipandu seorang lelaki yang lari daripada pemeriksaan polis dengan memasang lampu siren.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta peronda terlanggar kereta dipandu wanita itu yang keluar dari kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota polis yang cedera dan pemandu wanita itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here