Kekal harga siling RON95, diesel ringan beban pengguna – PDAM

0
167

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) melihat langkah kerajaan bersetuju menetapkan had harga siling bagi RON95 dan diesel bukan saja memberi kesan positif kepada pengusaha stesen, malah terhadap pengguna.

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata keadaan pasaran minyak minyak yang mengalami peningkatan hari ini memberi peluang kerajaan mengekalkan harga siling itu.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan kerana mengekalkan harga siling ini dan mengurangkan lagi tiga sen yang boleh dimanfaat kepada pengguna.

“Apabila harga terlampau tinggi, kerajaan terpaksa mengurangkan harga lebihan itu kerana apabila harga mahal, pengguna membeli minyak dalam jumlah liter yang kurang. Apabila perbelanjaan kurang, pengusaha pula akan terkesan,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan bersetuju menurunkan had harga siling baharu bagi produk petrol RON95 pada RM2.05, manakala diesel pada RM2.15 seliter.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penetapan harga siling itu bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara pada peringkat global.

Tengku Zafrul berkata, penetapan had harga siling ini lebih rendah berbanding had harga dilaksanakan kerajaan terdahulu pada 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Mengulas penurunan harga tiga sen, Khairul Annuar berkata, ia tidak memberi perbezaan banyak, namun sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bebanan pengguna.

“Bagi kami yang penting adalah mengekalkan harga siling kerana pengurangan harga tiga sen itu tidak sebanyak mana, tetapi ia penting untuk membantu semua peringkat pengguna hari ini.

“Kita tahu kesan kenaikan harga minyak, menyebabkan pengguna paling terjejas nanti,” katanya.

Beliau berkata, melalui harga siling itu juga kerajaan boleh mengekalkan inflasi.

Mengulas tempoh penetapan harga siling, Khairul Annuar berkata, ia mungkin tidak lama kerana bergantung kepada permintaan.

“Pasaran minyak dunia sedang meningkat kerana banyak negara sudah mengurangkan kawalan pergerakan dan Malaysia sendiri sedang melalui proses pengukuhan ringgit.

“Apapun selagi harga minyak tidak melebihi harga siling, selagi itulah ia kekal,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here