Kementerian Perpaduan akan bawa isu SOP ‘Makan Besar’ ke MKN

0
282

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara akan membawa pandangan dan rayuan masyarakat Cina berhubung prosedur operasi standard (SOP) sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kementerian itu dalam kenyataan kepada BH, berkata penyediaan SOP Tahun Baharu Cina itu sebelum ini disediakan kementerian berkenaan selepas berbincang dengan 21 Badan Pertubuhan Agama, Persatuan Kebudayaan Cina dan pihak berkaitan pada 12 dan 18 Januari.

Ini termasuk Malaysian Buddhist Association, Association of Churches In Sarawak, Malaysian Chinese Muslim Association, Persekutuan Persatuan Taoist Malaysia dan Christian Federation of Malaysia.

“Bagaimanapun selepas mendengar pandangan dan rayuan masyarakat Cina terutama berkaitan SOP Makan Besar Keluarga dan kehadiran penganut ke tokong pada 11, 12 dan 19 Februari, Kementerian akan membawa isu ini kepada MKN.

“Pengumuman berkaitan pandangan dan rayuan yang dimasukkan dalam SOP Tahun Baharu Cina akan diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” kata kenyataan itu.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan aktiviti ziarah termasuk rentas daerah dan negeri serta aktiviti keagamaan di tokong sempena perayaan Tahun Baharu Cina pada 11 dan 12 Februari ini tidak dibenarkan.

SOP perayaan Tahun Baharu Cina kali ini juga menetapkan acara makan besar hanya dibenarkan untuk disambut dalam rumah bersama ahli keluarga daripada rumah yang sama.

Turut tidak dibenarkan ialah sebarang aktiviti kebudayaan dan persembahan seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, opera dan pertunjukan pentas manakala upacara sembahyang di tokong pula hanya dibenarkan membabitkan lima ahli jawatankuasa tokong.

SOP perayaan itu di Sarawak bagaimanapun akan diputuskan kerajaan negeri berikutan ada daerah di negeri itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan banyak kritikan masyarakat yang menyifatkan kerajaan sebagai tidak peka budaya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here