Keputusan solat Jumaat dua sesi diumum hujung minggu ini

0
66

ALOR SETAR: Keputusan berkaitan keperluan solat Jumaat dua sesi akan diumumkan pada hujung minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pihaknya mengambil perhatian kebenaran solat Jumaat dua sesi yang sudah dilaksanakan di negara lain.

“Ada negara lain yang sudah melaksanakannya, jadi insya-Allah kita ambil kecaknaan dalam hal ini. Mungkin akhir minggu ini, saya akan kemukakan kepada umum,” katanya pada sidang media selepas melawat Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sini, hari ini.

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) membincangkan solat Jumaat dua sesi itu, Rabu lepas yang kemudiannya dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

Ia adalah langkah membolehkan lebih ramai jemaah dapat menunaikan solat Jumaat selepas lebih tiga bulan masjid ditutup kepada orang awam berikutan pandemik COVID-19.

Singapura memutuskan untuk membenarkan solat Jumaat didirikan dua sesi mulai kelmarin, bagi membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikannya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, semua institusi zakat diminta menggiatkan usaha mempromosi ibadah itu termasuk menggunakan medium terkini bagi memastikan faedahnya dapat dirasai terutama dalam pembangunan umat Islam.

“Mungkin ada perkara kita terlepas pandang dan dalam isu ini saya berpendapat ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Contohnya jabatan mufti melalui fatwa, manakala Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri boleh menggerakkan imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid untuk menarik lebih ramai pembayar zakat,” katanya.

Beliau berkata, zakat juga memerlukan kaedah pungutan dan pengagihan bersistematik bagi menampakkan hasil telus kepada pembayar serta penerima.

“Seperti di Kedah ada sistem Zakat On Touch yang memaparkan jumlah kutipan dan pengagihan semasa, semua orang dapat melihatnya menggunakan sistem berkenaan.

“Ia akan membentuk integriti tinggi dan kepercayaan rakyat secara khusus,” katanya.

Sumber-Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here